KUCHING: Pelancongan sukan di Sarawak kembali pulih selepas dua tahun tidak dapat mengadakan acara sukan antarabangsa berikutan penularan wabak Covid-19.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia berikutan peralihan negara ke fasa endemik dan kelonggaran beberapa prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, lebih banyak acara sukan dapat diadakan lagi.
“Perkara ini diperhebatkan apabila kembalinya acara tahunan Kuching dan Miri Marathon pada tahun ini, dan juga acara sukan lain iaitu Spartan Race yang dilancarkan baru-baru ini.
Abdul Karim, turut menegaskan dua tahun kebelakangan ini merupakan tahun yang mencabar bukan sahaja untuk pelancongan sukan, tetapi semua sektor.
“Namun, dengan pembukaan sempadan negara baru-baru ini, kita dapat melihat peningkatan penerbangan ke negeri ini. Penerbangan yang masuk ke Sarawak hampir sama seperti sebelum pandemik Covid-19 melanda,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media semasa pelancaran Kuching dan Miri Marathon bagi edisi tahun 2022 di Bangunan Baitulmakmur II, Petra Jaya, hari ini.
Pada masa yang sama beliau menggalakan penganjuran acara sukan seperti ini melibatkan bukan sahaja peserta tempatan tetapi juga peserta dari luar negara untuk menyertai.
Abdul Karim turut yakin untuk melihat peserta bukan sahaja dari Sarawak, Sabah dan Semenanjung, malah dari negara Brunei, Singapura dan untuk menyertai acara marathon yang merupakan acara tahunan diadakan di Sarawak.
“Ini juga akan merancakkan kembali industri perhotelan apabila peserta mengambil bahagian dalam acara sukan yang kita anjurkan di negeri ini, sekaligus memberikan peluang untuk mereka bercuti di negeri ini,” tambahnya.
Acara larian terbesar di Sarawak iaitu Kuching Marathon (KM2022) dan Miri Marathon (MM22) akan kembali ‘menggegar’ bandar raya Kuching dan Miri selepas dua tahun tidak dapat diadakan akibat pandemik Covid-19.
Acara sukan tersebut merupakan satu acara yang dinanti-nantikan oleh penggemar larian diseluruh negara yang akan menyaksikan edisi ke-7 KM2022 diadakan di Padang Mardeka pada 2 Oktober, manakala ia akan diteruskan dengan edisi ke-5 MM22, yang akan diadakan di Taman Bulatan, Miri pada 6 Nov.
KM2022 terdiri daripada empat kategori iaitu, marathon penuh 42km, separa marathon (21km), dan larian 10km dan 5km.
Manakala, MM22 terdiri daripada tiga kategori iaitu larian 42km, 21km dan 10km.
Mereka yang berminat untuk menyertai kini boleh membuat pendaftaran melalui dalam talian di www.marathonkuching.com dan www.marathonmiri.com mulai hari ini.
-utusan online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.