Sunday 15 May 2022

Lima program antarabangsa tarik pelancong ke Port Dickson

 

MOHD. Zamri Mohd. Esa menyerahkan lesen penjaja kepada salah seorang penerima dalam Program Sesi Penyerahan Lesen Penjaja dan Sesi Ramah Mesra Bersama Penyewa-penyewa Tapak Penjaja Berpusat MPPD di Bagan Pinang, Port Dickson hari ini. - UTUSAN/ MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN

PORT DICKSON: Sebanyak lima program dan acara antarabangsa akan dianjurkan di daerah ini yang bermula Jun sehingga September depan.

Sehubungan itu, Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) menyediakan peruntukan sebanyak RM360,000 bagi penganjuran kelima-lima program yang merupakan usaha menarik lebih ramai pelancong ke daerah ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Zamri Mohd. Esa berkata, lima acara dan program antarabangsa berkenaan ialah Pertandingan Petanque Berpasangan Terbuka,  Pertandingan Bola Tampar Pantai, Pertandingan Cabaran Viper, Aksi Akrobatik Army Red Warrior serta PD International Sandcastle.

“Sebanyak RM360,000 dana peruntukan pelancongan kerajaan negeri disediakan bagi penganjuran acara dan program yang telah dimasukkan dalam Kalendar Pelancongan Negeri Sembilan 2022 di bawah Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan, ” katanya kepada pemberita dalam Program Sesi Penyerahan Lesen Penjaja dan Sesi Ramah Mesra Bersama Penyewa Tapak Penjaja di Bagan Pinang di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya yakin sasaran kunjungan seramai tiga juta pelancong mengunjungi daerah ini tahun depan sempena Tahun Melawat Port Dickson dapat dicapai.

Sementara itu, Zamri memberitahu, sebanyak RM164,000 peruntukan daripada kerajaan negeri digunakan yang merupakan kos bagi membina 20 tapak penjaja di tiga lokasi yang merupakan usaha menempatkan semula penjaja sedia ada.

“Ia bagi mengelakkan kejadian penjaja menjalankan perniagaan di lokasi berbahaya dan kawasan rizab jalan.

“Menerusi program penempatan semula ini, penjaja hanya dikenakan bayaran sewa RM100 sebulan. Selain itu, kami juga sedang melihat cadangan membina tempat memasak, tempat basuhan dan kutipan sampah bagi memastikan keselesaan pengguna dan penjaja,” katanya.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.