Ammar (tengah) bersama tiga juara yang mengungguli pertandingan memancing Tourism Malaysia Surfcasting Tour 2020 Siri 3 di Lumut pada Ahad. |
LUMUT - Seramai 965 peserta menyertai pertandingan memancing Tourism Malaysia Surfcasting Tour 2020 Siri 3 di Pantai Lumut Waterfront dan Pantai Hotel Orient Star di sini pada Ahad.
Pertandingan memancing anjuran bersama Tourism Malaysia dan Wakjali Event Management itu dipilih sebagai salah satu aktiviti untuk mempromosikan pelancongan domestik serta merancakkan ekonomi negara.
Pengarah Kanan Domestik dan Acara Tourism Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar berkata, kajian yang dijalankan mendapati 10 hotel di daerah Manjung didapati hampir 100 peratus penuh hasil penganjuran pertandingan itu yang melibatkan peserta dari seluruh negara itu.
“Matlamat kita dalam menggalakkan pelancongan domestik tercapai apabila melibatkan kehadiran pelancong dari luar ke daerah Manjung.
“Tempiasnya turut dirasai oleh peniaga kedai makan apabila bilangan pengunjung makin bertambah begitu juga dengan peniaga umpan. Impak positifnya dapat mempertingkatkan ekonomi penduduk tempatan,” katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Penyampaian Hadiah Tourism Malaysia Surfcasting Tour 2020 - Siri 3 di sini pada Ahad.
Menurutnya, pihaknya tidak berkompromi dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) apabila menetapkan penjarakan fizikal 1.5 meter dengan meletakkan pancang khas di kawasan memancing di sepanjang 1.8 kilometer serta pemakaian pelitup muka.
“Aktiviti berkenaan akan terus dilaksanakan dengan menjadi Pulau Pangkor sebagai salah satu destinasi pilihan pertandingan kerana mempunyai pantai yang panjang.
“Dengan kejayaan penganjuran ini, ia dijangka boleh merancakkan ekonomi pulau bebas cukai itu selain menjadikan ia sebagai syurga buat para pemancing,” katanya.
Ammar berkata, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) itu, kadar penginapan hotel di seluruh negara dijangka akan mencatatkan kadar pertumbuhan 20 peratus pada tahun depan.
“Pelbagai aktiviti dirancang untuk menarik kehadiran pengunjung di lokasi pelancongan yang diklasifikasikan kawasan hijau.
“Semua hotel dan resort disarankan untuk melakukan proses sanitasi bagi meningkatkan keyakinan pelancong untuk menginap,” katanya.
Dalam pertandingan itu, Mohd Nik Rozaimi Nik Baharuddin, 26, membawa pulang RM30,000 apabila menaikkan spesies gemang seberat 1.33 kilogram (kg) mengalahkan Suria Mat Sahar, 48, yang turut menaikkan spesies sama seberat 1kg sekaligus membawa pulang RM10,000.
Tempat ketiga dimenangi oleh Mohd Rizan Ahmad, 40, yang membawa pulang RM5,000 setelah menaikkan spesies senangin seberat 0.94kg.
Nik Rizalmi yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan ketika ditemui berkata, usaha beliau bersama empat rakan lain menyertai pertandingan memancing di dua negeri termasuk Kedah akhirnya membuahkan hasil.
-sinar harian.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.