Sepang:
Tourism Malaysia bercadang memperluas pakej istimewa kempen Cuti-cuti Malaysia
khusus untuk penjawat awam di negeri-negeri lain bermula awal tahun depan.
Pengarah Kanan Domestik dan Acara Tourism
Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar berkata, pakej fasa pertama yang tertumpu
di Lembah Klang akan diperluas ke lima negeri iaitu Johor, Pulau Pinang,
Pahang, Sabah dan Sarawak.
Katanya,
kempen itu adalah inisiatif Tourism Malaysia bagi membantu merancakkan industri
pelancongan domestik selepas pengusaha berhadapan kerugian sepanjang
pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu.
"Kempen fasa pertama di Lembah Klang
bermula September lalu mendapat sambutan menggalakkan daripada kakitangan
kerajaan kerana mereka menerima potongan harga sehingga 30 peratus di lokasi
yang menawarkan pekej pelancongan," katanya kepada selepas merasmikan
program Makan Angin & Support Lokal di Avani Sepang Goldcoast Resort di
sini, tadi.
Turut hadir, Pengarah Urusan Colombia
Leisure,Jason Ow Yeang dan Pengarah Urusan Avani Sepang Goldcoast Resort,
Yogeswaran Veerasamy.
Pada majlis itu, Colombia Leisure turut
mengadakan kerjasama dengan Avani Sepang Goldcoast bagi mempromosi pelancongan
domestik di resort berkenaan.
Melalui kerjasama itu, pelanggan boleh
mendapatkan pakej pelancongan berharga RM399 melalui Columbia Leisure bermula
12 Disember sehingga 15 Februari 2021 serta berpeluang memenangi hadiah cabutan
bertuah sebuah kereta Perodua Axia, barangan elektrik dan telefon pintar.
Pakej fasa
pertama Kempen Cuti-cuti Malaysia khas penjawat awam dilancarkan pada September
lalu oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri
sehingga Mac 2021.
Ammar berkata, pakej fasa kedua membabitkan
lima negeri itu dijangka dilancarkan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya
awal Januari ini, manakala tempoh kempen fasa pertama akan dipanjangkan
sehingga penghujung 2021.
Menurut beliau, pakej istimewa kempen
Cuti-cuti Malaysia khas untuk penjawat awam itu bertujuan membantu kerajaan
meningkat pendapatan dalam bidang pelancongan kerana golongan ini tidak
terjejas pendapatan sepanjang tempoh PKP berbanding yang bekerja di sektor
swasta dan bidang perniagaan.
Katanya, penjawat awam hanya perlu
menunjukkan kad pengenalan diri kerajaan apabila mengunjungi tempat-tempat
pelancongan yang menyertai kempen berkenaan.
"Bagi orang awam yang ingin melancong,
mereka boleh membuat pemilihan di tempat-tempat yang menawarkan potongan harga
serta bersesuaian dengan bajet.
"Orang ramai juga dinasihati berwaspada
dengan promosi ditawarkan supaya mereka tidak ditipu oleh pihak tidak
bertanggungjawab serta ejen pelancongan tidak berlesen hingga menyebabkan
kerugian," katanya.
Sementara itu, Jason berkata, pihaknya
bercadang memperluas program Makan Angin & Support Lokal itu ke beberapa
negeri iaitu Negeri Sembilan, Perak dan Pulau Pinang menjelang awal tahun
depan.
Katanya, dengan cara itu ia dapat membantu
melonjakkan industri pelancongan di negeri terbabit selain membantu pengusaha
selepas berhadapan kerugian akibat pandemik Covid-19.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.