KUALA TERENGGANU,17 Disember - Bagi melonjakkan sektor
pelancongan negeri, Terengganu hari ini mengumumkan 2021 sebagai Tahun Melawat
Kenyir (TMK2021).
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan
Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, inisiatif anjuran Lembaga
Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) memilih Tasik Kenyir kerana destinasi
ekopelancongan tersohor itu mempunyai pelbagai produk yang digemari pengunjung.
“Produk yang boleh diterokai oleh pelancong
seperti Santuari Kelah, Kenyir Elephant Conservation Village (KECV), Taman
Herba, Taman Orkid, Air Terjun Lasir dan Sungai Saok, Gua Bewah dan Gua Taat,
Zon Bebas Tasik Kenyir dan pelbagai lagi.
“TMK2021 yang julung-julung kali diadakan ini akan
dimeriahkan lagi dengan pelbagai program menarik sepanjang tahun sekali gus
memperkukuhkan Tasik Kenyir sebagai destinasi pelancongan wajib sekiranya
berkunjung ke Terengganu.
“Acara-acara yang dirancang telah memfokuskan
pelbagai lapisan masyarakat dan akan menarik lebih ramai peminat sukan lasak
kerana ekologi yang terdapat di Tasik Kenyir membuka ruang acara sebegini
dilaksanakan,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).
Mengulas lanjut, beliau berkata, penganjuran TMK2021 juga
antara lain untuk merancakkan kembali ekonomi pemain pelancongan yang terbantut
dek penangan COVID-19.
“Dengan adanya penganjuran sebegini yang diatur
secara berpanjangan dan penekanan kepada pelancongan komuniti setempat
(community based tourism).
“Ia juga akan memberi impak positif kepada
penggiat pelancongan yang terdiri daripada pengusaha bot laju, pengusaha rumah
bot dan pengusaha kedai makan dan juga komuniti setempat,” tambah beliau.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.