23 Disember 2020 - YAB Tan Sri Dato' Hj. Muhyiddin Bin
Hj. Mohd. Yassin, Perdana Menteri Malaysia telah melancarkan Dasar Pelancongan
Negara (DPN) 2020 - 2030 yang dilaksanakan secara dalam talian menerusi
Facebook Rasmi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).
Tan Sri Muhyiddin dalam ucapannya berkata beliau
optimis dan yakin, DPN 2020 - 2030 ini mampu menjamin kelangsungan industri
pelancongan negara serta menjadikan Malaysia kembali sebagai destinasi
pelancongan terpilih utama di peringkat global. Ini dapat dicapai melalui
pendekatan utama merangkumi Pemulihan Industri Pelancongan Secara Efektif
Berteraskan Norma Baharu, Pengukuhan Daya Saing, Pembangunan Sektor Pelancongan
Secara Lestari dan Inklusif, serta Kesedian Mengharungi Bencana pada masa akan
datang.
Dasar ini akan dilaksanakan menerusi enam (6)
teras strategik utama seperti berikut:
i. transformasi tadbir urus
ii. mewujudkan zon pelaburan bagi projek
pelancongan yang inklusif;
iii. mempergiatkan digitalisasi pelancongan;
iv. memperkayakan pengalaman dan kepuasan
pelancong;
v. memperkukuhkan komitmen terhadap pelancongan
lestari; dan
vi. meningkatkan kapasiti modal insan dalam semua
sub-sektor pelancongan.
Selain itu, pembangunan industri pelancongan yang
berasaskan teknologi digital adalah penting bagi memastikan objektif DPN 2020 -
2030 ini dapat dicapai. Untuk itu, bagi menggalakkan pelaburan pelancongan yang
berpusatkan teknologi, Malaysia akan mewujudkan zon pelaburan untuk projek
pelancongan atau Special Tourism Investment Zones. Zon ini dijangka dapat
meningkatkan kerjasama awam-swasta serta menarik lebih ramai pelabur tempatan
dan antarabangsa dalam bidang teknologi digital sektor pelancongan.
Jelas Tan Sri Muhyiddin lagi, Malaysia juga
berhasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai Top of The Mind Ecotourism
Destination of the World. Beliau yakin kelestarian sumber boleh memacu
pertumbuhan ekonomi baharu melalui ekopelancongan di samping mewujudkan peluang
pekerjaan. Usaha ini juga adalah selaras dengan komitmen Malaysia terhadap
Agenda 2030 dan 17 Matlamat Pembangunan Lestari atau Sustainable Development
Goals di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau United Nations.
Sementara itu, YB Dato' Sri Hajah Nancy Shukri,
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia dalam ucapan alu-aluannya berkata
melalui dasar ini, tumpuan akan diberikan kepada pelancongan lestari dan
peningkatan pendapatan pelancongan yang merupakan indikator terpenting dalam
memberi impak kepada ekonomi negara. Dalam hal ini, pembangunan industri pelancongan
adalah ke arah mengutamakan kualiti berbanding kuantiti, atau dalam istilah
yang lebih mudah adalah kepada quality tourist atau high yield tourist.
Dato' Sri Hajah Nancy berharap agar semua pihak
bersatu hati menggerakkan DPN 2020 - 2030 ke arah memartabatkan Malaysia
sebagai destinasi pelancongan dan kebudayaan di serata dunia.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.