PEMBINAAN pusat beli-belah
Central i-City setakat ini telah mencapai 75 peratus siap
dan dijangka dibuka
kepada orang ramai pada Januari 2019.
|
KUALA LUMPUR 10 Sept. – Syarikat pemaju peruncitan
terbesar Thailand, CPN menyasarkan kehadiran 12 juta pengunjung setahun ke
pusat beli-belah Central i-City yang menawarkan pelbagai tarikan baharu
terutama kepada penduduk di sekitar Klang dan Shah Alam, Selangor.
Ketua Pegawai Operasi CPN Malaysia, Anthony Dylan
Anak Frankie Jurem berkata, Centra i-City merupakan projek usahasama antara CPN
dan I-City Properties Sdn. Bhd. dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM850
juta.
940,000 kaki persegi dengan 350 lot kedai itu
dijangka dibuka kepada orang ramai pada Januari 2019.
“Pembinaan telah dimulakan pada Januari 2016 dan
kerja-kerja struktur telah disiapkan pada Februari lalu. Setakat ini Central
i-City telah 75 peratus siap dengan kadar ambilan mencecah 70 peratus.
“Pecahan kedai-kedai yang terdapat di pusat
beli-belah ini adalah makanan dan minuman sebanyak 25 peratus, fesyen (20
peratus), hiburan (enam peratus), pasar raya (empat peratus), gedung jualan (20
peratus) dan lain-lain perniagaan (25 peratus). Jangkaan ini berdasarkan
perancangan awal dan akan berubah bergantung kepada keadaan pasaran serta trend
pengguna,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Tambah Anthony Dylan, Central i-City menempatkan
beberapa penyewa utama seperti Sogo, Village Grocer dan TGV Cinema yang mana ia
bakal menjadi tarikan utama kepada pengunjung di samping rekaan dalaman dan
konsep membeli-belah ala Thailand.
Katanya, gedung beli-belah Sogo dan Village Grocer
di Central i-City akan menjadi yang terbesar di Malaysia sementara TGV Cinema
menyediakan lapan pawagam dan satu dewan IMAX bersama teknologi audio visual
terbaharu.
Sementara itu, Anthony Dylan berkata, lokasi
Central i-City yang strategik turut membantu memacu kehadiran pengunjung.
Jelasnya, jaringan jalan raya yang baik serta
berdekatan dengan lebuhraya utama memberikan akses secara terus kepada para
pengunjung di samping jalan keluar masuk ke Central i-City yang sistematik
menyumbang kepada aliran trafik yang lancar.
“Kami mahu menjadi sebuah pusat beli-belah pilihan
oleh semua segmen sasaran dengan menawarkan kualiti, kemudahan serta
pengalaman menarik kepada semua pengunjung. Oleh itu, semua faktor sama ada
luaran atau dalaman akan membantu kami mencapai matlamat berkenaan,” katanya.
-utusan online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.