Saturday, 1 September 2018

Bangunkan program inap desa sekitar Kenyir

RINA (tengah) ketika merasmikan Festival Kenyir 2018 di Pengkalan Gawi, Hulu Terengganu
hari ini. Turut serta, R. Sivarasa (tiga dari kiri) dan Omar (dua dari kanan).
-UTUSAN ONLINE/Farid Janudin

HULU TERENGGANU 30 Ogos - Kementerian Pembangunan Luar Bandar akan membantu memajukan inap desa di kampung-kampung sekitar Tasik Kenyir agar penduduk setempat mendapat lebih banyak limpahan ekonomi daripada perkembangan industri pelancongan.

Menterinya, Rina Mohd. Harun berkata, Kampung Basung dan Pasir Dula terutamanya yang menjadi pintu masuk ke destinasi eko pelancongan itu perlu diberi perhatian, justeru prasarana yang lebih baik wajar disediakan untuk merangsang kejayaan program itu.

"Saya gembira kerana Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) sedang merancang program inap desa di dua kampung berkenaan, walaupun bukan dalam kawasan Ketengah tetapi kita hendak usahakan untuk kepentingan rakyat.

"Mereka boleh turut sama bergerak aktif mempromosikan pelancongan di negeri yang sangat cantik dengan banyak tarikan dengan memberi kemudahan kepada penduduk untuk menambahkan pendapatan," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Festival Kenyir 2018 di Pengkalan Gawi di sini hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R. Sivarasa; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim serta Pengurus Besar Ketengah, Omar Ismail.

Progam selama empat hari itu akan dimeriahkan dengan pelbagai kegiatan sukan air dan darat yang membuka ruang untuk turut disertai bersama keluarga, selain menyaksikan persembahan kesenian dan kebudayaan di samping membeli-belah dengan potongan harga menarik.

Acara tradisi tahunan kedisi kelapan yang menarik tumpuan pengunjung ke tasik itu saban tahun, disasarkan akan menarik  80,000 pengunjung.

Festival Kenyir 2018 menawarkan 36 acara yang merangkumi lima kluster iaitu jualan dan pameran, persembahan pentas, sukan air dan acara siang, dengan operasinya dibuka bermula dari pukul 10 pagi hingga 11 malam.

Rina turut menarik perhatian, program pelancongan desa di Tasik Kenyir itu bukan sahaja mendekatkan pelancong dengan keindahan alam semula jadi tetapi juga mendedahkan mereka dengan keunikan budaya kehidupan masyrakat setempat.

"Sasaran kita agar kemasukan pelancongan ke Tasik Kenyir meningkat kepada 1 juta dalam tempoh setahun," katanya.


Sementara itu, Omar berkata, kehadiran pengunjung dalam festival kali ini akan membantu melonjakkan bilangan pengunjung tahunan ke Tasik Kenyir kepada 820,000 orang sebagaimana dihasratkan
-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.