Friday, 17 November 2017

Melaka bakal terima 8,000 pelancong


JEFRI MUNIR (dua dari kiri) bersama Nazary Ahmad (kiri), K.A. Bharat (tiga dari kiri) dan Khamis Abas (dua dari kanan) selepas sidang akhbar di Bandar Hilir, Melaka, semalam. Utusan/azli ahad

MELAKA 16 Nov. - Negeri ini akan menerima kedatangan seramai 8,000 pelancong dari Wilayah Uta­ra India mulai 19 Januari depan bagi mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelanco­ngan di peringkat antarabangsa.

Pengarah Pejabat Pelancongan dan Kebudayaan negeri Melaka, Jefri Munir berkata, pelancong dari negara tersebut bakal melonjakkan lagi pemasaran pelancong negara, khususnya Melaka.

“Kedatangan ini dapat dihasilkan melakui usaha yang dilakukan Syarikat Jejak 
Warisan Tours & Travel (JWWT) Sdn. Bhd. Melaka yang disokong oleh pihak kami, Pejabat Tourism Malaysia New Delhi melalui Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Ray Foundation New Delhi yang ditandatangani pada 8 Oktober lalu di Dehradun City, India.

“Bagi menjaya dan melengkap­kan usaha yang dilakukan ini, pihak JWWT pada hari ini telah menandatangani Persefahaman Kerjasama dengan beberapa pemilik dan pengusaha produk serta tarikan pelancongan di negeri Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sebelum MoU ditandatangani antara JWWT dengan beberapa pengusaha tarikan pelancongan negeri Melaka di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Datuk Khamis Abas; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Na­zary Ahmad dan Presiden Dewan Usahawan India Malaysia (IECM), K.A. Bharat.

Sementara itu, Jefri membe­ritahu, kerjasama itu juga mendapat sokongan padu daripada syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines Berhad (MAB) yang mempunyai laluan setiap hari ke wilayah tersebut.

“Sebagai permulaan, delegasi seramai 18 orang terdiri daripada golongan akademik dan usahawan dari negeri Uttarakhand, India akan mengadakan lawatan suai kenal ke Malaysia, khususnya Melaka bagi merasai sendiri pengalaman percutian di sini.

“Lawatan yang bermula dari 14 hingga 22 November ini adalah atas jemputan dan dibiayai sepenuhnya oleh Syarikat JWTT, IECM Melaka dan MAB,” katanya.
Dalam pada itu, menurut Jefri, pihak kementerian me­nyasarkan peningkatan 10 peratus jumlah pelancong India ke negara ini pada tahun hadapan ekoran penurunan sebanyak 21.5 peratus pada tahun ini.


Katanya, setakat Januari hingga Ogos tahun ini, Malaysia menerima kehadiran 354,258 pelancong dari India berbanding 451,294 orang dalam tempoh masa yang sama tahun lalu.
-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.