Wednesday, 19 July 2017

Hotel permotoran pertama di Asia dibuka

Johari Mohd. Yusof bersama kakitangannya di lobi Hotel Hype Motorsports Nilai yang merupakan hotel permotoran pertama di Malaysia di Nilai, baru-baru ini.


KUALA LUMPUR 16 Julai – Forte Hospitality Management Sdn. Bhd. mengumumkan pembukaan Hotel Hype Motorsports Nilai iaitu hotel butik pertama di Asia yang berkonsepkan dunia permotoran sepenuhnya menerusi penampilan imej, gaya dan reka bentuk ruang dalaman serta luarannya.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Forte Hospitality Management, Johari Mohd. Yusof berkata, hotel tersebut terletak di lokasi strategik di te­ngah-tengah bandar Nilai, Negeri Sembilan dengan hanya sejauh 15 minit perjalanan dari Lapa­ngan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) serta kira-kira 40 minit perjalanan ke Kuala Lumpur.

Jelas beliau, pihaknya me­ngambil masa beberapa bulan untuk melakukan kajian terperinci dan merancang tema bersesuaian sebelum mengambil keputusan mengetengahkan konsep permotoran.

“Kami merasakan pembukaan Hotel Hype Motorsports Nilai ini sebagai peluang terbaik bagi kami memperkenalkan konsep permotoran buat julung-julung kalinya kepada rakyat Malaysia kerana belum ada lagi mana-mana hotel di Malaysia dan rantau ini yang menampilkan konsep sama.

“Selain itu, kami juga merancang untuk membuka beberapa lagi hotel berkonsepkan dunia permotoran di lokasi strategik seluruh negara sekiranya mene­rima sambutan menggalakkan daripada orang ramai,” katanya dalam kenyataan di sini, baru-baru ini.

Hotel Hype Motorsports Nilai menampilkan 75 bilik yang direka berkonsepkan permotoran menerusi susun atur kerusi, katil dan paparan grafik serta gambar berlatar belakang aksi perlumbaan, malah terdapat beberapa bilik bertemakan legenda permotoran dunia seperti pemandu Formula Satu (F1) terkenal, Micheal Schumacher dan pelumba motosikal terkemuka, Valentino Rossi.

Sebanyak tiga jenis bilik ditawarkan iaitu Standard, Superior dan Family yang kesemuanya dilengkapi pelbagai kemudahan seperti pendingin hawa kawalan individu, kunci pintu dengan kad sentuh, pengesan asap, akses internet percuma, televisyen lengkap dengan saluran tempatan dan permotoran serta jadual harian penerbangan.

-utusan online.
http://www.hypenilai.com/

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.