Friday, 7 July 2017

Destinasi pelancongan domestik lebih popular

Tugu kucing di bandar raya Kuching, Sarawak yang merupakan
satu destinasi percutian popular di Malaysia.


KUALA LUMPUR 5 Julai - Rakyat Malaysia lebih berminat untuk keluar melancong ke destinasi antarabangsa, namun faktor keadaan ekonomi semasa memaksa mereka memilih tempat percutian yang lebih dekat.

Berdasarkan analisis oleh HotelsCombined, carian hotel antarabangsa meningkat satu peratus dalam separuh pertama 2017 berbanding tempoh sama tahun lalu, namun turun tiga peratus dari segi tempahan bilik.

Pengurus Pemasaran Malaysia dan Singapura HotelCombined, Jenna Lee berkata, untuk tempoh sama, tempahan domestik me­ngatasi tempahan antarabangsa masing-masing dengan 61 peratus dan 39 peratus.

Katanya, destinasi domestik yang paling digemari ialah Kuala Lumpur, Melaka, Kota Kinabalu, George Town dan Johor Bahru dengan purata perbelanjaan hotel ialah AS$58 (MYR246) untuk satu malam.

“Pada tahun lepas, disebabkan nilai ringgit sedikit lemah, rakyat Malaysia lebih cenderung memi­lih destinasi domestik berban­ding pelancongan antarabangsa untuk mengurangkan kos per­belanjaan mereka.

“Bagi tahun 2017 pula, setakat separuh pertama tahun ini, kami menyaksikan trend yang sama dengan lebih ramai memilih untuk melancong di dalam negara sahaja,” katanya dalam kenya­taan di sini hari ini.

Jenna berkata, rakyat Malaysia merancang untuk mengurangkan kos menerusi tempahan hotel lebih awal dengan masa untuk tempahan domestik meningkat kepada 17.9 hari daripada 16.6 hari pada tahun lalu.

Sementara itu katanya, masa tempahan yang diambil oleh pengguna untuk percutian antarabangsa turut meningkat kepada 62.4 hari setakat tahun ini berbanding dengan 59.5 hari tempoh sama tahun lepas.

“Disebabkan lebih ramai para pengguna mula merasai kesan kenaikan kos sara hidup, mereka kini mencari pelbagai cara untuk mengurangkan kesan itu dengan mengawal perbelanjaan harian termasuk melancong.

“Walaupun destinasi dalam domestik merupakan pilihan popular rakyat Malaysia, rantau Asia Pasifik menjadi pilihan destinasi percutian paling popular termasuk ke Thailand, Jepun, Indonesia dan Singapura,” katanya.

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.