Suasana kedamaian dengan
pemandangan menarik yang terdapat
di Batu-Batu Resort, Pulau Tengah, Mersing.
|
MERSING 6 Julai - Butiran
pasir putih halus menghangatkan tapak kaki tatkala melangkah di sepanjang
pantai-pantai di gugusan kepulauan Johor yang terletak di daerah ini.
Kejernihan air lautnya
yang membiaskan warna firus membolehkan pengunjung melihat ikan-ikan kecil
berenang di sekeliling terumbu karang di dasar laut.
Hempusan segar angin Laut
China Selatan yang terbentang luas di hadapan mata pula meredakan kehangatan
tropika gugusan pulau tersebut yang turut mendapat jolokan ‘Maldives Malaysia’
kerana keindahannya.
Pulau Rawa merupakan salah
satu daripada enam kumpulan gugusan pulau di bawah Taman Laut Sultan Iskandar
(TLSI) yang terdapat di daerah ini selain Pulau Tinggi, Pulau Aur, Pulau Sibu,
Pulau Pemanggil dan Pulau Besar yang disifatkan sebagai 'permata laut Johor'
kerana kemudahan dan keunikannya.
Selain keindahan alam
semula jadi yang kaya dengan khazanah flora dan fauna, Pulau Rawa amat digemari
pelancong asing khususnya dari Eropah kerana nilai ‘eksklusif' pulau berkenaan
yang mengawal jumlah tetamunya.
Bukan bermakna terlalu
eksklusif untuk dikunjungi, namun langkah itu diambil pengurusan dua resort di
pulau itu bagi memastikan tetamunya dapat merasai detik percutian yang tidak
terlalu komersial sehingga mengorbankan keselesaan majoriti.
Selain mendaki puncak Rawa
sambil menikmati pemandangan matahari terbit dan terbenam, pelancong juga boleh
melakukan pelbagai aktiviti lain seperti meneroka hutan, snorkling dan bermain
gelongsor air di jeti pulau itu.
Begitu juga di Pulau
Tengah yang mula mencipta tanda aras percutian mewah dengan hanya sebuah resort
beroperasi di pulau berkenaan.
Istimewanya, penginapan
villa di pulau ini mengangkat seni bina tradisional tanpa mengorbankan alam
sekitar dan terbukti apabila terdapat pokok yang tidak ditebang sebaliknya
turut menjadi struktur asas binaan.
Bagi mereka yang mencari
percutian bajet, Pulau Besar dan Pulau Sibu adalah destinasinya menerusi
rangkaian penginapan yang menawarkan harga berpatutan dan mengikut keperluan
pelanggan.
Menariknya di pulau ini,
pengunjung juga boleh menikmati suasana kampung dengan berjalan kaki atau
berbasikal sambil menyaksikan sendiri perusahaan sokongan pelancongan yang
diusahakan penduduk asal pulau berkenaan.
Jangan terkejut apabila
melihat ratusan keluang bergantungan di atas pokok-pokok sekitar Pulau Besar
ini yang ‘jinak’ dan tidak membahayakan.
Bagi kaki pancing, sudah
pastinya Pulau Pemanggil, Pulau Aur, Pulau Tinggi dan Pulau Besar adalah
antara lokasi terbaik terutamanya yang ingin merasai ‘rentapan’ pelbagai
hidupan marin.
Kekayaan flora dan fauna
yang menjadi nadi bagi gugusan kepulauan di daerah ini tidak akan kekal
sekiranya tiada langkah pemeliharaan dan pemuliharaan ke atas ekosistemnya.
Atas dasar itulah, pihak
pengurusan Batu-Batu Resort di Pulau Tengah mengambil inisiatif mewujudkan
pusat penetasan penyu atau Turtle Watch Camp (TWC) yang dikendalikan sekumpulan
sukarelawan di pulau berkenaan.
Pusat penetasan penyu ini
dibuka apabila penyelam mendapati reptilia tersebut sering menjadi mangsa
pemburuan haram selain berdepan dengan pemangsa seperti biawak, tikus, babi
hutan dan jerung.
-utusan online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.