TEE SIEW KIONG (empat dari kanan) menerima cenderamata daripada Lee Hung Quoc selepas mengadakan perjumpaan di Ho Chi Minh, Vietnam, kelmarin. |
JOHOR BAHRU 30 Nov. - Bagi melonjakkan kedatangan pelancong dari Vietnam, kerajaan negeri komited memperkukuhkan kerjasama dalam bidang tersebut dengan mengadakan misi ke bandar raya Ho Chi Minh, bermula semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong berkata, Johor dan Ho Chi Minh kini bekerjasama erat untuk meneroka potensi dalam sektor berkenaan.
Beliau berkata, penerbangan terus dari Johor Bahru ke Ho Chi Minh setiap hari oleh syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Berhad (AirAsia) memberi kelebihan dan mampu membantu merealisasikan hasrat tersebut.
“Sejajar dengan sambutan Tahun Melawat ASEAN pada tahun depan, Johor dan Ho Chi Minh menyatakan komitmen untuk memperkukuhkan kerjasama khususnya dalam bidang pelancongan dan perdagangan.
“Dengan populasi penduduk Johor seramai 3.55 juta, manakala 8.22 juta bagi bandar Ho Chi Minh, kita bakal mempunyai 11 hingga 12 juta pasaran untuk diterokai dan diusahakan bersama-sama,” katanya semasa mengadakan kunjungan hormat ke atas Pengerusi Ho Chi Minh City Union of Friendship Organizations (HUFO), Le Hung Quoc di Ho Chi Minh.
Yang turut hadir, Konsul Jeneral Malaysia ke Ho Chi Minh, Sofian Akmal Abd. Karim dan Pengarah Tourism Johor, Mohd. Gadaffie Abdul Aziz.
Siew Kiong berkata, pada tahun lalu, seramai 30,650 pelancong tiba dari Ho Chi Minh ke Johor Bahru dengan menggunakan penerbangan.
Beliau berkata, dari bulan Januari hingga September lalu, jumlah pelancong dari bandar Ho Chi Minh yang direkodkan adalah 36,918 orang.
“Jadi kerajaan Johor yakin angka ini akan terus meningkat. Malah keyakinan ini bersandarkan bandar raya Johor Bahru dan Ho Chi Minh yang masing-masing berkongsi banyak persamaan berikutan kedua-duanya sedang membangun dengan pesat dari sudut ekonomi dan pelaburan,” katanya.
Sementara itu, Hung Quoc berkata, dengan dasar pintu terbuka negara berkenaan, pihaknya mengalu-alukan kesediaan Johor untuk bekerjasama dengan bandar Ho Chi Minh bagi meneroka pasaran pelancongan, perdagangan dan pelaburan.
“Kami gembira dengan komitmen ditunjukkan oleh kerajaan negeri Johor dan saya berharap ia akan memberi faedah kepada negeri berkenaan dan bandar ini.
“Pelbagai bidang boleh diterokai bersama seperti perkilangan, pertanian, automotif dan pembinaan hospital swasta di bandar ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.