KUALA LUMPUR 14 Dis.- Presiden MATTA, Datuk Hamzah Rahmat (tiga dari kanan) beramah mesra bersama ejen dari Shenzen, China dan Malaysia pada majlis makan malam 'Networking Dinner with TopChinese Outbound Operators' di New Shanghai Restaurant, di sini hari ini.-UTUSAN/AMIR HAFIZ ABD RAHMAN
KUALA LUMPUR 14 Dis. - Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) mensasarkan empat juta pelancong dari negara China datang ke Malaysia tahun depan.
Presiden MATTA, Datuk Hamzah Rahmat berkata, sasaran berkenaan dibuat berdasarkan jumlah kemasukan pelancong China pada tahun ini yang sudah mencecah angka dua juta orang.
Angka itu katanya, turut menarik minat syarikat penerbangan Shenzhen Airlines untuk melancarkan semula penerbangannya ke negara ini pada 9 Disember lalu.
“Pertama kali Shenzhen Airlines melakukan penerbangan ke negara ini enam tahun lepas, sekarang, mereka akan melakukan penerbangan dari Shenzhen dengan kekerapan dua kali (pergi-balik) dalam masa sehari ke Kuala Lumpur.
“Ini kerana mereka bertambah yakin dengan jumlah pelancong yang datang ke negara ini dan kita jangka untuk membuka penerbangan terus dari Shenzhen ke Pulau Pinang dan Johor,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Makan Malam bersama 23 delegasi China dalam lawatan suai kenal di sini hari ini.
Turut hadir Pegawai Domestik MATTA, Datuk Tan Kok Liong; Exco Pemasaran Pelancong China MATTA, Jimmy Thoo dan Ketua Pemasaran Shenzhen Airlines, Wang Xizheng.
Dalam pada itu, Xizhang berkata, syarikat penerbangannya melaburkan dana yang besar untuk mengiklankan Malaysia kepada penumpang dari China.
“Ini termasuklah mempromosi cuaca yang baik, tiada masalah bahasa yang menjadi penghalang untuk berkomunikasi dan tiada pencemaran udara.
“Alasan yang membuatkan mereka suka datang ke negara ini adalah disebabkan pelbagai makanan yang boleh didapati,” katanya.
-utusan online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.