Saturday 9 April 2011

Misi Jualan Domestik & Cuti-Cuti 1Malaysia Travel Fair Di Sarawak

Timbalan Menteri Pelancongan Malaysia, YB Dato’ Dr. James Dawos Mamit telah merasmikan pameran jualan Cuti-Cuti 1Malaysia (Cuti-Cuti 1Malaysia Travel Fair) di The Spring Shopping Mall, Kuching Sarawak pada  9 April 2011.

Pameran jualan Cuti-Cuti 1Malaysia (CC1M) ini yang berlangsung dari 8 hingga 10 April bertujuan untuk mempromosikan produk-produk pelancongan domestik secara lebih bersepadu  dan memudahkan  orang ramai untuk membeli secara terus pakej-pakej percutian daripada para pengusaha produk. Sebanyak 80 buah organisasi yang terdiri daripada pelbagai agensi pelancongan, homestay, hotel, agensi kerajaan dan syarikat pengangkutan dari seluruh negara menyertai pameran jualan ini.

Pameran ini merupakan sebahagian daripada program Misi Jualan Domestik anjuran Tourism Malaysia yang berlangsung dari 6 – 10 April 2011. Sebuah program berbentuk mini Travel Mart turut dianjurkan pada 7 April di Riverside Majestic Hotel, Kuching dan dirasmikan oleh YBhg. Dato’ Amirrudin Abu, Timbalan Ketua Pengarah (Pemasaran) Tourism Malaysia. Seramai 30 pengusaha produk (sellers) dari Sabah dan Sarawak dan 50 agen (buyers) dari negeri-negeri di Semenanjung telah menyertai program tersebut yang memberi ruang kepada para pesertanya untuk menjalin dan mengukuhkan hubungan perniagaan sesama mereka.  

Para peserta Travel Mart turut berpeluang mendengar taklimat pelancongan oleh Encik Kevin Nila Nangai, Pengurus Pemasaran Serantau (Malaysia & Singapura) Sarawak Tourism Board, MAS Holidays, Firefly Holiday dan Car Rental Association of Malaysia (CRAM). Lawatan kemaskini produk di Matang, Lundu, Sematan, Semenggoh, Padawan, Borneo Highlands, Santubong dan Damai sebelum diakhiri dengan aktiviti Sarawak River Cruise Dinner tajaan Tourism Malaysia diadakan  pada 6 April bagi memberi peluang kepada para peserta MJD untuk mengenali produk dan destinasi pelancongan di Sarawak dengan lebih dekat lagi.

Pelbagai aktiviti sampingan turut dianjurkan bagi menghiburkan dan menarik minat orang ramai untuk menyertai pameran jualan Cuti-Cuti 1Malaysia. Antara aktiviti-aktiviti tersebut termasuklah persembahan tarian kebudayaan negeri Sarawak, demonstrasi kraftangan (Kelantan dan Perak), kuiz pelancongan, persembahan artis tempatan dan cabutan bertuah. Misi Jualan Domestik ini turut mendapat kerjasama daripada Kerajaan Negeri Sarawak, Sarawak Tourism Board, MAS, Firefly, CRAM serta beberapa lagi agensi lain.

-Tourism Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.