Monday, 4 November 2024

MB: Acara sukan jadi teras dalam kalendar Tahun Melawat Selangor 2025

 



SEPANG, 3 NOV: Acara sukan dan rekreasi dijadikan teras inisiatif dalam kalendar Tahun Melawat Selangor 2025 bagi menarik kehadiran lebih ramai pelancong tempatan dan antarabangsa.


Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelancongan sukan mampu meningkatkan ekonomi tempatan selain mewujudkan peluang pekerjaan.


“Kita akan jadikan perlumbaan Grand Prix Motosikal (MotoGP) Malaysia 2024 ini sebagai model untuk menganjurkan lebih banyak acara sukan pelancongan.


“Sukan pelancongan merupakan salah satu tarikan utama. Sukan seperti larian dan basikal sudah ada peminatnya sendiri, terbaharu sukan pickleball yang banyak dimainkan di bandar,” katanya kepada pemberita.


Terdahulu beliau melancarkan logo Tahun Melawat Selangor 2025 di reruai Tourism Selangor di Litar Antarabangsa Petronas Sepang di sini, hari ini.


Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Saipolyazan Mat Yusop dan Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad.


Dalam pada itu, Amirudin menambah MotoGP 2024 menerima kehadiran kira-kira 200,000 pengunjung dengan sebahagian daripadanya merupakan pelancong luar negeri dan antarabangsa.


Jelasnya, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 10 peratus berbanding tahun lalu sekali gus membuktikan acara tersebut amat dinantikan peminat sukan permotoran.


“Perlumbaan MotoGP juga berperanan sebagai platform untuk Tourism Selangor mempromosikan warisan budaya negeri yang kaya, landskap indah dan infrastruktur termaju,” katanya.

-selangorkini.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.