Tuesday, 12 November 2024

Tourism Malaysia Memeriahkan Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan Melalui Tawaran CUTI-CUTI KELUARGA

 


KUALA LUMPUR, 8 November 2024 - Tourism Malaysia melancarkan e-risalah Cuti-Cuti Keluarga bersempena sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan (BKK) yang berlangsung pada 9-10 November 2024 di Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur.


Dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, sambutan ini bertemakan Kasih Keluarga, Jiwa MADANI, dengan objektif menggalakkan penglibatan semua pihak dalam menyediakan pelbagai aktiviti yang menarik dan bermakna bagi memperkukuhkan institusi kekeluargaan.


Sebagai sokongan kepada inisiatif ini, Tourism Malaysia telah menyenaraikan lebih daripada 44 produk dalam e-risalah ini dengan pakej percutian menarik untuk aktiviti keluarga serta bersesuaian bagi semua lapisan umur.


Sebanyak 21 pemain industri pelancongan turut serta dalam tawaran ini, termasuk Sunway Lagoon, Gamuda Land, THE TOP Penang Theme Park, Ripley’s Adventureland, Jungle Gym Genting Highlands, Wet World Water Park Shah Alam, Combat Baze, SuperPark Malaysia, dan The BOMB Battle Kuala Lumpur. Ini termasuk 12 agensi pelancongan menawarkan pelbagai pakej percutian berbaloi, dengan pilihan penginapan menarik di Putrajaya dan Pahang, serta pengalaman glamping di Putrajaya dan Perak. Jumlah produk dan pemain industri pelancongan dijangka akan bertambah sepanjang bulan November.


Pakej yang ditawarkan bermula serendah RM25 seorang untuk aktiviti memanah, hinggalah kepada pakej 2 Hari 1 Malam (2H1M) bermula daripada RM240 seorang yang merangkumi penginapan, makan tengahari di rumah kampung, dan aktiviti menarik bagi ahli keluarga untuk pengalaman percutian yang penuh bermakna.


Datuk Manoharan Periasamy, Ketua Pengarah Tourism Malaysia berkata, pelancaran e-risalah Cuti-Cuti Keluarga merupakan usaha signifikan untuk menggalakkan keluarga di seluruh negara meluangkan masa berkualiti bersama sambil menikmati destinasi menarik dalam negara.


“Tourism Malaysia komited menyokong sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan ini dengan menawarkan pelbagai pakej percutian yang sesuai untuk semua lapisan keluarga. Inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh ikatan kekeluargaan tetapi juga memberi impak positif kepada industri pelancongan domestik.


“Melalui aktiviti dan pakej menarik yang ditawarkan, kami berharap setiap keluarga berpeluang mencipta memori indah bersama insan tersayang dan menyemarakkan semangat Cuti-Cuti Malaysia,” tambahnya.


Selaras dengan inisiatif Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), e-risalah Cuti-Cuti Keluarga ini bukan sahaja bertujuan menggalakkan rakyat Malaysia untuk menikmati percutian berkualiti bersama keluarga, malah turut memainkan peranan penting dalam usaha mencapai sasaran VM2026 untuk menarik 35.6 juta pelancong antarabangsa dan menjana RM147.1 bilion dalam pendapatan pelancongan.


Tempahan pakej yang ditawarkan boleh dibuat mulai 9 November 2024 di reruai Tourism Malaysia di Taman Botani Perdana atau terus kepada penyedia perkhidmatan sehingga 31 Disember 2024, dan pakej-pakej ini sah sehingga 30 Jun 2025 tertakluk kepada terma dan syarat.


Maklumat lanjut berkenaan pakej-pakej yang ditawarkan boleh didapati di laman web Tourism Malaysia di www.malaysia.travel.

-Tourism Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.