Thursday, 28 November 2024

Tourism Malaysia kenal pasti, tambah baik promosi 100 destinasi dalam negara kurang sambutan

 


PETALING JAYA: Tourism Malaysia mengenal pasti lebih 100 destinasi pelancongan dalam negara yang kurang dikunjungi pelancong tempatan dan memerlukan promosi lebih intensif.

Ketua Pengarahnya, Datuk Manoharan Periasamy, berkata ia antara langkah penambahbaikan dilaksanakan agensi itu bagi menggalakkan semula pelancongan domestik.

"Kita berusaha bagi galakkan rakyat Malaysia melancong dalam negara, ini kerana sebagaimana diketahui, setiap kali hujung minggu atau cuti panjang, ramai yang memilih untuk bercuti di kawasan sempadan, antaranya Hat Yai (Thailand).

"Hasil kerjasama dengan kerajaan, selepas COVID-19 kita melihat trend bahawa orang ramai suka bercuti dalam kumpulan kecil.

"Susulan itu, kita sudah mengenal pasti lebih daripada 100 destinasi pelancongan yang kurang dikunjungi pelancong tempatan dan lakukan pelbagai usaha antaranya menggunakan pempengaruh media sosial bagi mempromosikannya" katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang Media Kempen Jualan Akhir Tahun Malaysia 2024 (MYES 2024) di Sunway Pyramid, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) MOTAC, Dr Yasmeen Yasim; Presiden Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPK), Phang Sau Lian dan Timbalan Presiden Persatuan Peruncit Malaysia (MRA), Boon Eng Law.

Manoharan berkata, pihaknya turut menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak lain antaranya dengan syarikat konsesi lebuh raya, penggiat industri hotel dan lokasi tumpuan pelancongan misalnya bagi menyediakan promosi menarik.

Ditanya mengenai perancangan Tourism Malaysia memandangkan Malaysia bakal menjadi pengerusi ASEAN bagi 2024, beliau berkata, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa acara penting yang dijangka boleh menarik lebih ramai pelancong luar negara.

"Antara program (pelancongan) yang dikenal pasti adalah berkaitan hiburan, misalnya dengan penganjuran konsert selain pelancongan sukan, ini kerana kebiasaannya acara sebegini akan membabitkan kehadiran lebih ramai pelancong," katanya.

-berita harian online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.