Friday, 22 November 2024

Miri destinasi pelancongan paling murah di Malaysia - Agoda

 

photo: PelanconganKini

KUALA LUMPUR: Miri, Sarawak menjadi destinasi pelancongan paling murah di Malaysia dan yang kelima di Asia menurut platform percutian digital Agoda.


Miri muncul sebagai destinasi paling murah di Malaysia dengan kadar bilik purata RM290 satu malam.


Hat Yai, Thailand, mendahului senarai sebagai destinasi yang menawarkan harga paling berpatutan secara purata di Asia, dengan kadar bilik purata RM205 satu malam, menjadikannya pilihan utama untuk pelancong yang mengutamakan kos di akhir bulan Disember.


Surakarta, Indonesia, dan Varanasi, India meraih tempat kedua dan ketiga, dengan kadar masing-masing RM210 dan RM219 satu malam.


Pengarah Negara untuk Malaysia dan Brunei di Agoda, Fabian Teja, berkata hujung tahun merupakan masa yang paling sesuai untuk bergembira dan keluar bercuti bersama rakan dan keluarga.


Namun begitu, katanya perbelanjaan mungkin akan meningkat di luar kawalan jika ia tidak dipantau.


"Oleh itu, penyusunan bajet adalah satu perkara penting yang harus dipertimbangkan sebelum keluar bercuti. Di Agoda, kami berbangga kerana dapat menawarkan harga yang hebat dan memastikan kos penerbangan, penginapan, dan aktiviti liburan adalah berpatutan agar dapat memberikan lebih banyak penjimatan kepada pelanggan kami," katanya dalam satu kenyataan.


Untuk menyusun senarai 'Destinasi Paling Murah', Agoda menganalisis kadar bilik di 10 bandar paling popular di setiap sembilan pasaran yang ditinjau.


Oleh kerana senarai ini adalah berdasarkan purata, pemburu tawaran murah mungkin akan menemui kadar yang lebih rendah di destinasi tersebut dan juga destinasi lain di Agoda.

-berita harian online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.