PUTRAJAYA, 14 DISEMBER 2021 – Projek rintis Gelembung Perjalanan Domestik Langkawi dianggap berjaya hasil Kaji Selidik Pelancongan Domestik oleh Bahagian Perancangan Strategik, Tourism Malaysia di pulau peranginan negara tersebut dari 30 September hingga 6 Oktober 2021 melibatkan 1,005 responden.
Kaji selidik ini diadakan sejajar dengan pembukaan semula Langkawi kepada pelancong domestik bermula 16 September 2021 bagi mengkaji tahap kepuasan sepanjang perjalanan, kualiti perkhidmatan penginapan, pengendali pelancongan dan syarikat penerbangan serta tahap keyakinan terhadap aspek berkaitan COVID-19 melibatkan kesihatan dan keselamatan.
Secara keseluruhannya, hasil penemuan kaji selidik tersebut mendapati majoriti responden berpuas hati untuk melakukan perjalanan dan mereka mempunyai keyakinan tinggi untuk melancong dalam keadaan berjaga-jaga susulan kewujudan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) yang mencukupi bagi menangani pandemik COVID-19.
Keperluan untuk menjalani ujian saringan COVID-19 serta syarat lengkap divaksinasi telah meningkatkan keyakinan pengunjung terhadap perjalanan yang selamat dan terjamin. Selain itu, harga menarik yang ditawarkan oleh pengendali pelancongan, syarikat penerbangan dan penginapan juga boleh mempengaruhi pelawat domestik untuk melancong.
Bagaimanapun, majoriti responden keluar melancong hanya untuk mengelak daripada terperap di dalam rumah dan lebih gemar bersantai di premis penginapan pelancong di Langkawi. Responden juga berminat untuk kembali melancong di dalam negara dengan destinasi pulau seperti Pulau Redang dan Pulau Perhentian menjadi pilihan setelah sekatan perjalanan ditarik semula.
Laporan lengkap berkenaan Kaji Selidik Pelancongan Domestik di Langkawi ini boleh diakses di laman web http://mytourismdata.tourism.gov.my/
-Tourism Malaysia.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.