Musim 2021 Kejuaraan Cub Prix
Malaysia PETRONAS akan kembali menyajikan 10 pusingan perlumbaan, berdasarkan
jadual perlumbaan terkini yang telah diumumkan baru-baru ini.
Jadual sementara ini telah
diaturkan mengikut SOP pandemik semasa dengan mengambil kira andaian bahawa
penonton masih lagi tidak dibenarkan menonton secara langsung di litar untuk
musim 2021. Oleh yang demikian, jadual musim 2021 ini mirip jadual musim 2020
di mana semua perlumbaan akan dianjurkan di litar tetap.
Empat daripada sepuluh pusingan
musim 2021 akan tertumpu di Litar Antarabangsa Sepang. Dua lagi pusingan akan
dianjurkan di Litar Tangkak, Johor dan satu lagi di Terengganu. Buat masa ini,
lokasi dua perlumbaan berbaki belum dapat ditetapkan.
“Sekiranya tiada halangan,
pihak Cub Prix berharap akan memulakan musim 2021 pada bulan Mac nanti. Namun
demikian, harus diingatkan bahawa jadual ini masih tertakluk kepada perubahan
semasa,” kata Ron Hogg, Pengarah Safe Aim Mutual Sdn Bhd, penganjur Kejuaraan
Cub Prix Malaysia PETRONAS.
Pihak Safe Aim Mutual juga
berhasrat menghidupkan semula Kejuaraan Mini Cub Prix yang dikhaskan untuk
pelumba-pelumba cilik berusia enam sehingga 12 tahun. Aktiviti pocket bike ini
dijangka akan bermula pada bulan Mei atau Jun nanti.
“Tidak dinafikan, musim 2020
adalah musim yang begitu mencabar. Namun, dengan bantuan pelbagai pihak, kami
berterima kasih kerana masih sempat menamatkan musim 2020 dengan berjaya. Dalam
itu, kami ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada PETRONAS, penaja
utama Cub Prix, yang telah banyak membantu meningkatkan taraf sukan permotoran
tanahair. Tidak lupa juga rakan-rakan korporat Cub Prix yang turut
menyumbangkan sokongan terhadap sukan ini.”
“Bagi pihak semua warga Cub
Prix, kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Belia dan
Sukan Malaysia, Majlis Keselamatan Negara dan juga Kementerian Kesihatan
Malaysia di atas bantuan yang telah dihulurkan selama ini. Kami juga menyeru
agar orang ramai terus mematuhi syarat-syarat SOP yang telah ditetapkan.
Bersama, kami pasti akan berjaya menangani gejala ini,” tambah Ron.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.