Tuesday, 23 February 2021

MOTAC Terima Pengiktirafan Di Anugerah Kraf Antarabangsa 2020

 



22 Februari 2021 - Malaysia terus diiktiraf di peringkat antarabangsa apabila berjaya memenangi empat (4) anugerah yang dipertandingkan dalam Majlis Anugerah Kraf Antarabangsa (ICA) 2020 di Bikaner House, New Delhi, India, semalam.

Program ICA anjuran Craft Village ini merupakan satu platform untuk mengiktiraf sumbangan individu, tukang kraf, artisan, pereka bentuk dan organisasi dari seluruh dunia dalam pembangunan inklusif serta kelestarian dalam sektor kraf. Craft Village adalah pertubuhan sosial dari New Delhi, India yang merupakan anggota World Craft Council - Asia Pacific Region (WCC-APR), Res-Arties(Belanda) dan Residency Unlimited (New York).

Berikut adalah empat (4) pengiktirafan yang diterima:

·   Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC)
Kategori: Lifetime Achievement for a Government Representative

·  

  Insitut Kemahiran Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Besar Meriam (IKTPD)
Kategori: Craft Institute/Academy of the Year

·   

   Projek Kraf Komuniti Ku (KKK) Kampung Kepala Bendang, Sayong Kuala Kangsar
Kategori: Village of the Year

·   

    Rahmi bin Bujang
Kategori: Designer of the Year (Gen-Next)


MOTAC dinobatkan sebagai Lifetime Achievement for a Government Representative atas usaha berterusan dalam memartabatkan industri kraf Malaysia. Inisiatif MOTAC dalam memperkasa dan melonjakkan industri kraf ke tahap lebih tinggi, termasuk menembusi pasaran global merupakan agenda dalam mengetengahkan identiti Malaysia kepada masyarakat antarabangsa.

Insitut Kemahiran Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Besar Meriam (IKTPD) yang memenangi Craft Institute/Academy of the Year telah mula beroperasi pada Julai 2010. IKTPD merupakan hasil daripada cetusan idea KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah. Institut ini menawarkan Sijil Kemahiran belia dan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), khususnya dalam melestarikan Seni Kraf Tenun Pahang Diraja. Sehingga kini, seramai 55 graduan Sijil Kemahiran Tenun Pahang Diraja telah dilahirkan.

Projek Kraf Komuniti Ku (KKK) Kampung Kepala Bendang, Sayong Kuala Kangsar yang diiktiraf sebagai Village of the Year merupakan projek perintis KKK di Malaysia untuk memperkasa komuniti kraf seramik di daerah Kuala Kangsar terutama di sekitar Mukim Sayong. Fokus utama projek ini adalah pembangunan produk kraf seramik yang juga merupakan produk identiti negeri Perak. Antara inisiatif yang telah dilaksanakan adalah penyelidikan dan pembangunan 32 rekaan produk identiti (signature) seramik hitam atau black pot yang mempunyai keunikan rekaan corak dan warna hitam pada permukaannya.

Rahimi bin Bujang yang memenangi kategori Designer of the Year (Gen-Next) merupakan pereka dari Kraftangan Malaysia Cawangan Perak. Sepanjang 11 tahun berkhidmat, beliau telah menerima beberapa anugerah dan pengiktirafan. Ini termasuk Juara (Lampu Terendak Menara Kuale) bagi Craft Master 2018 anjuran My Creative Ventures, Penang Art Open 2016, 2018 dan 2020, Malaysia Good Design Award 2018 (Water Dispenser Gelugor) serta mewakili Malaysia di International Ceramic Workshop 2019.

YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya berkata, pengiktirafan ini adalah hasil komitmen dan kerjasama semua pihak terutamanya sokongan daripada rakan strategik yang terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta dalam membangunkan industri kraf tanah air. Beliau yakin industri ini akan terus berkembang dengan penghasilan produk kreatif baharu selain menyokong penjanaan ekonomi negara dan seterusnya membantu mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.

-MOTAC.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.