Seperti yang telah dijadualkan, kejohanan perlumbaan
ini mempunyai 5 pusingan dan kesemuanya akan diadakan di Litar
Kart Antarabangsa Sepang. Pusingan 1 akan berlangsung pada minggu ini
dan diikuti seterusnya pada 6 September, 25 Oktober, 15 November dan pusingan
akhir pada 6 Disember 2020.
Kejohanan SIC MiniGP merupakan satu inisiatif program dari
akar umbi yang membolehkan 21 pelumba muda dari usia 8 – 13 tahun untuk menimba
pengalaman sebagai pelumba profesional. Acara ini bukan sahaja dapat mencari
pelapis dan bakat-bakat baru, tetapi juga memupuk minat dan semangat dari kecil
melalui pengalaman dan pengetahuan dari pihak SIC dan ZK Racing dalam sukan
permotoran dua roda.
BucciMoto BR-10 GP merupakan jentera yang akan digunakan
sepanjang kejohanan ini. Pelumba muda dari usia 8 – 11 tahun akan menunggang
jentera MiniGP berkuasa 110CC. Manakala, pelumba muda dari usia 12 – 13 tahun
akan menunggang jentera MiniGP berkuasa 160CC.
Ia merupakan satu peralihan dari ‘’pocket bike” ke jentera lumba yang mempunyai rangka penuh. Lantas, menjadi anjakan kepada industri sukan permotoran negara untuk pelumba muda memperolehi pendedahan awal. Seiring dengan pelumba-pelumba muda dari negara maju seperti Itali, Sepanyol, Perancis, dan Jerman, mereka akan jadi lebih kompetitif dan lebih bersedia dengan jentera lumba yang dilengkapi sistem pertukaran gear klac manual dan sistem “suspension” yang sempurna berbanding “pocket bike”.
Pelumba muda akan dilengkapkan dengan kelengkapan perlumbaan
yang diluluskan oleh FIM, menjalani latihan fizikal dan program latihan
kecergasan mental, rancangan pemakanan, teknik menunggang prestasi tinggi dan
strategi perlumbaan. Secara tidak langsung, dapat memupuk mereka untuk jadi
lebih disiplin.
Dilancarkan semasa #MalaysianGP2019, proses pemilihan
kejohanan ini telah diadakan pada 11 – 12 December 2019. Sepanjang 2 hari
pemilihan dijalankan, sebanyak 52 pelumba telah hadir untuk menunjukkan bakat
mereka. Akhirnya, hanya 24 pelumba sahaja yang terpilih untuk mengikuti
kejohanan ini setelah mereka dinilai dan diuji dari beberapa aspek. Pengukuran
saiz kelengkapan perlumbaan dilakukan kepada mereka yang terpilih selepas tamat
sesi pemilihan.
Pada asalnya, perlumbaan pertama sepatutnya berlangsung pada
18 Mac 2020 tetapi ditangguhkan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sepanjang tempoh PKP, semua pelumba muda telah diberi program latihan
kecergasan untuk mereka lakukan di rumah. Program ini wajib untuk mereka ikuti
supaya berada dalam tahap yang baik walaupun tidak dapat beraksi di litar.
Setelah SIC mendapat kelulusan untuk melangsungkan akitiviti
sukan permotoran mengikut tatacara pematuhan yang telah ditetapkan oleh
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), dan
Kementerian Belia dan Sukan (KBS), SIC MiniGP telah mengadakan sesi latihan
selama 4 hari agar para pelumba dapat mengikut rentak dan persediaan untuk
perlumbaan.
Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata,
“SIC sentiasa mengalukan program akar umbi seperti Kejohanan SIC MiniGP yang
akan berlangsung pada Ahad ini. Saya teruja untuk melihat pelumba muda kita
beraksi. SIC ingin melahirkan lebih ramai bakat muda di masa akan datang
melalui program ini dan pelapis baru untuk saingan antarabangsa. Insya-Allah
satu hari nanti, kita akan ada pelumba yang mampu mengibarkan jalur gemilang di
podium dalam kejohanan berprestij MotoGP”.
Pengurus Pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin berkata,
“Saya sangat gembira untuk memulakan perlumbaan pada minggu ini dimana, ini
adalah acara pertama kami untuk program SIC MiniGP yang melibatkan
pelumba-pelumba dari usia 8 – 13 tahun. Persiapan kami juga berada dalam
keadaan yang baik. Saya sangat berharap program ini dapat dijalankan dengan
sempurna dengan kerjasama SIC dan MAM serta sokongan dari pihak KBS”.
Sebagai peneraju sukan permotoran di Malaysia, SIC amat
menitikberatkan tentang keselamatan pekerja, pelumba, pasukan, rakan kongsi dan
juga peminat. Demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan berterusan, SIC
telah mengeluarkan SOP yang perlu dipatuhi oleh setiap individu apabila mereka
memasuki premis SIC.
Dengan keadaan semasa pandemik Covid-19, kejohanan ini akan
dijalankan secara tertutup dan tanpa kehadiran penonton bagi memastikan risiko
jangkitan wabak Covid-19 dapat dikurangkan.
Buat peminat sukan 2 roda, ikuti program penuh sesi
kelayakan, Perlumbaan 1 dan Perlumbaan 2 Kejohanan MiniGP SIC melalui “Facebook
Livestream” di laman
Facebook Kejohanan SIC MiniGP pada hari Ahad.
-Sepang International Circuit.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.