Friday, 29 December 2017

Larut British Malaya cecah 60,000 pengunjung

SEBAHAGIAN daripada warga Taiping berpakaian tradisional kembali ke tahun 1885 dan keunikan zaman klasik yang dihidupkan kembali itu menarik perhatian pengunjung yang hadir ke program Larut British Malaya sempena penutup Tahun Melawat Perak 2017. - UTUSAN

TAIPING 29 Dis. – Dalam tempoh lima hari, lebih 60,000 pengunjung telah meluangkan masa ke program Larut British Malaya anjuran Syaeba Pictures Sdn. Bhd. menerusi kerajaan negeri sempena Tahun Melawat Perak 2017 di Cross Street No. 2, Jalan Kota di sini.

Menurut pengarah programnya yang juga merupakan seorang pelakon, Hilal Azman, Larut British Malaya mengembalikan suasana era 80-an dan para pengunjung berpeluang melihat cara budaya, gaya pemakaian serta jenis perniagaan yang diusahakan oleh orang-orang dahulu.

Program yang berlangsung selama seminggu itu juga menyajikan pelbagai acara menarik untuk pengunjung seperti District Tourism Market, International Explorace From Taiping With Love, International Mangrove Photography dan International Heritage Costume.

“Untuk acara Gendang Malaya yang akan berlangsung malam ini di pentas utama, pengunjung bukan sahaja berpeluang menyaksikan persembahan gendang daripada pelbagai kaum dari seluruh Malaysia malah penyanyi pop lagenda, Datuk Jamal Abdillah akan turut hadir bagi menghiburkan pengunjung.

“Selain itu pengunjung juga berpeluang mengambil bahagian dalam Heritage Everyday Hi-Tea Talk dan program yang berbaki tiga hari ini dibuka seperti biasa dari pukul 10 pagi hingga 10 malam,” katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Terdahulu, dalam setiap acara yang dijalankan Hilal tidak berkeseorangan kerana Larut British Malaya turut menampilkan persembahan daripada selebriti tempatan seperti Sheeda Dangdut, Syed Ali, Yassin Senario, Cat Farish, Azmeer Nindia Raja Lawak, Bienda dan Liza Abdullah.

Ujar Hilal, dia dan pasukannya memilih untuk menjalankan program tersebut di Taiping kerana bukan sahaja banyak perkara pertama bermula dari sana malah Taiping juga telah diiktiraf sebagai bandar tertua dalam negara.

“Misalnya, landasan kereta api pertama menghubungkan Taiping dengan Port Weld dibuka pada 1885 dan ia beroperasi selama 58 tahun sebelum ditutup pada 1943 ketika tentera Jepun menewaskan British dalam Perang Dunia Kedua.

Selain itu, penjara pertama dan tertua di Tanah Melayu adalah Penjara Taiping dan ia dibina pada 1879. Dalam erti kata lain, banyak lagi tempat yang dibangunkan pada awal era tersebut termasuk hospital (1880) dan muzium (1883) yang diilhamkan Residen British, Sir Hugh Low.


“Program ini bukan sahaja dipilih sebagai penutup bagi acara Tahun Melawat Perak 2017 sekali gus membolehkan orang ramai mencipta memori yang tersendiri di bandar Taiping untuk menyambut Ambang Tahun Baharu 2017,” katanya.
-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.