BAGAN DATUK 24 Dis. - Sejak beroperasi dua bulan lalu, Waterfront Bagan Datuk (WBD) kini menjadi destinasi tumpuan pelancong dari luar dan dalam daerah ini lebih-lebih lagi pada hari cuti umum.
Kewujudan WBD juga telah mengubah wajah Bagan Datuk yang dahulunya
sinonim dengan gelaran ‘pekan koboi’ kepada lokasi yang dilengkapi dengan
pelbagai kemudahan asas.
Terletak di pinggir Sungai Perak iaitu kira-kira 21 batu nautika dari
perairan Selat Melaka, WBD merupakan projek pertama yang dibangunkan sejak
Bagan Datuk diisytiharkan sebagai daerah baharu atau yang ke-12 di negeri ini.
Rata-rata orang ramai mengunjungi kawasan tersebut dengan tujuan untuk
bersantai atau berkelah sambil menyedut udara bersih serta menyaksikan
pemandangan indah sejurus sebelum matahari terbenam.
Paling istimewa, tiada bayaran dikenakan kepada pengunjung sepanjang
WBD dibuka selama 24 jam setiap hari.
WBD yang diuruskan oleh Pejabat Daerah Bagan Datuk menawarkan pelbagai
kemudahan asas seperti gelanggang kasut roda, lapangan permainan layang-layang,
tempat memancing serta laluan aktiviti berbasikal untuk kanak-kanak.
Pengunjung juga boleh membeli-belah di gerai-gerai yang menjual beraneka
kuih tradisional, minuman seperti air kelapa muda serta cenderahati.
Selain itu, gerai Dataran Amanjaya di WBD menyediakan hidangan istimewa
iaitu masakan berasaskan udang galah serta pelbagai jenis makanan serta minuman
yang dijual dengan harga berpatutan kepada orang ramai yang ingin menjamu
selera.
Seorang pengunjung dari Sungai Sumun, Hamzah Shahsuddin, 53,
berkata, berdasarkan pemerhatiannya, Bagan Datuk mengalami perubahan pesat
sejak dua tahun lalu.
“Dahulu, orang ramai tidak berapa berminat untuk datang ke Bagan Datuk
kerana terletak di hujung negeri dan pekannya mati tetapi sekarang ia sudah
menjadi sebutan orang ramai.
“Harapan saya pada masa akan datang adalah pekan Bagan Datuk menjadi
bertambah baik serta dikekalkan suasananya yang indah dan bersih,” katanya
ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Sementara itu, seorang anak jati Bagan Datuk, B. Gurramah,
53, menjelaskan, dia sekeluarga terpesona melihat keindahan WBD setelah sekian
lama berpindah ke Sitiawan selepas berumah tangga.
“Saya seperti tidak percaya apabila melihat Bagan Datuk semakin berubah
dan berharap ia akan menjadi lokasi pelancongan terkemuka suatu hari nanti,”
katanya yang pulang ke Bagan Datuk untuk menziarahi saudaranya.
Seorang lagi penduduk tempatan, Soon Cheng Leong, 45,
berkata, Bagan Datuk yang merupakan lokasi sesuai untuk memancing udang galah
turut mempunyai kemudahan seperti perkhidmatan bot bagi membawa pengunjung ke
kawasan pelancongan di Pulau Sembilan.
“Terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad
Zahid Hamidi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk kerana berjaya membawa
perubahan demi kesejahteraan hidup penduduk berbilang kaum di sini,” ujarnya.
-utusan online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.