KUALA LUMPUR 30 Nov. – Golongan pengusaha sektor pertanian dan
penternakan di negara ini berpeluang memperoleh pendapatan lumayan melalui
industri agro pelancongan yang semakin digemari khususnya dalam kalangan
masyarakat bandar dan pelancong luar negara.
Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk
Seri Dr Ismail Bakar berkata, sektor agro pelancongan seperti pertanian,
perikanan, penternakan dan industri asas tani mempunyai potensi pelancongan
yang besar jika dimanfaatkan sepenuhnya.
Beliau berkata, walaupun sub sektor pelancongan itu sudah lama wujud
di negara ini, potensinya masih tidak dikomersial dan dipopularkan sepenuhnya
dan dengan cara tersusun.
“Salah satu trend yang sedang berkembang pada masa kini adalah minat
orang ramai yang gemar keluar daripada kesibukan kota untuk menikmati alam
semulajadi sambil melakukan aktiviti-aktiviti menarik yang jarang dicuba
sebelum ini.
“Secara umumnya saya lihat sektor ini mempunyai potensi yang tinggi dan
boleh mendatangkan kesan pengganda (multiplier effect) kepada rantaian produk
agro negara, seterusnya meningkatkan kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)
negara,’’ katanya.
Beliau berkata, antara produk yang mempunyai daya tarikan untuk
dipasarkan melalui sektor itu adalah perusahaan ladang atau kebun terbuka,
pusat pertanian berasaskan pendidikan, inap desa yang mempunyai tarikan
pertanian dan produk-produk makanan.
“Contoh terbaik misalnya Kampung Kuala Medang, di Kuala Lipis, Pahang
yang cukup terkenal dalam kalangan pelancong dalam dan luar negara melalui
pakej inap desa dan produk hasil pertanian seperti serbuk kunyit, tapai pulut
dan dodol.
“Tarikan seperti inilah yang sedang dikenalpasti oleh agensi-agensi
pelancongan untuk dimasukkan ke dalam pakej mereka kerana mempunyai nilai
tambah yang menarik,’’ katanya.
Tambah beliau, sektor berkenaan secara tidak langsung mampu menyediakan
pelbagai peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan golongan petani dan
penternak khususnya di kawasan luar bandar.
“Jika sebelum ini penduduk hanya memberi tumpuan kepada pengeluaran
hasil pertanian semata-mata, kini mereka boleh memikirkan cara untuk menarik
minat pelancong supaya datang ke tempat mereka.
“Peluang ini adalah salah satu bentuk sumber baharu yang boleh
menyumbang pendapatan misalnya melalui pelbagai caj perkhidmatan yang
disediakan kepada pelancong,’’ katanya.
Selain itu katanya, kepelbagaian produk agro pelancongan yang terdapat
di negara ini memberi peluang kepada masyarakat dan pelancong dari luar negara
mempelajari aktiviti-aktiviti dalam sektor pertanian secara lebih dekat.
“Antara aktiviti yang mendapat sambutan adalah lawatan ke dusun
buah-buahan dan ladang ternakan, pusat pertanian dan penyelidikan.
“Melihat potensi ini saya yakin industri agro pelancongan boleh
berkembang pada skala lebih besar dan pergi lebih jauh bahkan setanding dengan
sektor pelancongan lain yang ada,’’ tambahnya lagi.
Dalam pada itu Ismail berkata, kementeriannya turut bekerjasama dengan
Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC) dalam usaha menyokong dan
membantu usahawan yang berminat membangunkan industri agro pelancongan.
Usaha itu termasuk proses mengenal pasti dan memberi khidmat nasihat
kepada golongan pengusaha yang mempunyai minat untuk mengembangkan perniagaan
agro pelancongan mereka.
-utusan online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.