PARA pengunjung menikmati permainan Megamind
Megadrop iaitu menara jatuh tertinggi di Malaysia setinggi 52 meter di Movie
Animation Park Studios (MAPS), Ipoh, Perak.
- UTUSAN/ SYEFRY MONIZ
|
IPOH 17 Dis. - Kunjungan anda ke taman tema animasi pertama Asia di
Movie Animation Park Studios (MAPS) di sini bakal menyeronokkan apabila tarikan
utamanya iaitu Dream Zone dibuka tidak lama lagi.
Dream Zone yang cukup dinanti-nantikan, merupakan zon keriangan yang
menampilkan watak-watak animasi DreamWorks seperti Megamind, The Croods, Casper
the Friendly Ghost dan Mr. Peabody & Sherman.
Baru-baru ini, buat pertama kalinya, media diberikan peluang secara
eksklusif untuk melihat serta merasai tarikan di situ yang siap sepenuhnya.
Antara yang istimewa ialah permainan Megamind Megadrop iaitu ‘menara
jatuh’ tertinggi di Malaysia setinggi 52 meter.
Pengunjung tidak perlu gusar untuk mencubanya kerana semua tarikan
permainan di MAPS adalah mengikut standard antarabangsa serta diperakui selamat
oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH).
Selepas bersuka ria, pengunjung boleh menikmati hidangan enak seperti
burger, french fries, kentang wedges dan aiskrim di Metro City Diner.
Keriangan di Metro City lebih terasa apabila anda dihiburkan dengan
persembahan pentas MegaMind Rocks Musical di Dream Theatre.
Di sana, anda dapat menyaksikan gandingan watak Megamind dan rakan
baiknya, Minion serta wartawan Roxanne Ritchi memperkenalkan pertaruhan muzikal
rancak bersama watak antagonis, Tighten dalam konsert penuh warna-warni.
Selain itu, pengunjung juga berpeluang menaiki mesin masa dalam Mr.
Peabody and Sherman's Time Adventure selain menyelusuri laluan Mr. Peabody and
Sherman's Sculpture Walk.
Kunjungan anda di Dream Zone tidak lengkap sekiranya anda tidak menaiki
roller coaster yang membawa anda kembali ke zaman lampau dalam The Croods Crazy
Chase.
Selain itu, sekiranya anda peminat watak animasi hantu mesra Casper,
anda boleh membantunya dengan menembak seberapa banyak lembaga hijau yang
muncul dalam Casper's Birthday Blast! Glide.
Keriangan di Dream Zone juga dapat diabadikan dengan pembelian
cenderamata eksklusif watak-watak animasi DreamWorks di Dream Store.
Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor
negeri, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, MAPS telah menerima hampir
300,000 pengunjung sejak dibuka pada Jun lalu.
“Secara keseluruhannya, sebanyak sejuta pelancong disasarkan untuk
mengunjungi MAPS bagi tahun pertama operasinya.
“Kita yakin MAPS akan dapat membantu menarik serta meningkatkan
kunjungan pelancong ke negeri Perak, bukan sahaja bagi jangka pendek tetapi
juga untuk tempoh masa akan datang,” katanya.
-utusan online.http://www.mapsperak.com/
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.