Friday, 18 August 2017

MATTA Fair Melaka 2017 sasar kehadiran 30,000 pengunjung

Datuk Seri Idris Haron memalu gong ketika merasmikan MATTA Fair Melaka 2017 yang berlangsung selama tiga hari di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh mulai hari ini. Turut kelihatan, Datuk Tan Kok Liang (kiri); Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Sungai, Pantai dan Pulau-Pulau negeri, Datuk Ghazale Muhamad (kanan) dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Roslan Ibrahim (dua dari kanan).
- UTUSAN ONLINE/MOHD. AZIM ABD. RAHMAN


MELAKA 18 Ogos - Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menyasarkan kehadiran sejumlah 30,000 pengunjung sepanjang MATTA Fair Melaka 2017 yang berlangsung selama tiga hari mulai hari ini sehingga Ahad ini.

Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang berkata, jumlah kehadiran pengunjung itu dijangka meningkat berbanding 27,000 pengunjung yang datang ke MATTA Melaka dianjurkan dua tahun lalu dan berjaya mencatatkan nilai jualan sebanyak RM18 juta.

“Melaka mempunyai produk-produk pelancongan yang menarik serta terurus dengan baik malah MATTA juga sedang mengkaji kemungkinan untuk mengadakan rundingan untuk menambah jumlah penerbangan terus ke Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam bagi menarik lebih ramai pelancong.

“Sekiranya mendapat sambutan yang baik pihak kami juga tidak mempunyai masalah untuk mengadakan acara MATTA Fair ini dua kali setahun, tahun lalu kita tidak dapat mengadakannya di Melaka kerana kekurangan tenaga dan berharap sambutan lebih baik tahun ini,” katanya selepas majlis pelancaran MATTA Fair Melaka 2017 oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh.

Menurut Kok Liang, pihaknya turut menyasarkan jumlah kutipan jualan sebanyak RM20 juta menerusi pameran kali ini dengan penyertaan sejumlah 104 pempamer termasuk satu agensi pelancongan antarabangsa dari Taiwan dan tiga agensi pelancongan negeri iaitu Melaka, Johor dan Kelantan. 

-utusan online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.