Pengunjung yang inginkan keselesaan boleh menginap di Rumah Kampung UTM yang terdapat di sini. |
JOHOR BAHRU 15 Jun - Bunyi
unggas dan burung berkicauan diselangi deruan air jeram Lata Jernih yang
mengalir deras ke hilir bukit jelas kedengaran. Pokok-pokok hutan yang
menghijau di sekeliling, antaranya keruing, meranti dan cengal membuatkan diri
terasa bagaikan berada di tengah hutan belantara.
Namun, siapa sangka lokasi
itu terletak dalam kampus induk Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Skudai
di sini, yang terletak kira-kira 25 kilometer dari pusat bandar raya Johor
Bahru.
Berkeluasan 53 hektar, Hutan
Rekreasi UTM yang dibuka secara rasmi pada 22 Disember 2004 itu merupakan
produk pelancongan yang ditawarkan menerusi inisiatif Kampus Ekopelancongan
UTM.
Bukan sahaja kaya dengan
fauna dan flora, hutan simpan berkenaan yang dikelolakan oleh Unit Kampus
Ekopelancongan UTM itu turut menawarkan pelbagai aktiviti riadah untuk
pengunjung. Antaranya yang disediakan termasuk meredah hutan, meredah
halangan, memanah, flying fox, combat archery, paintball, explorace, war game
selain menunggang All Terrain Vehicle (ATV).
Bagi memastikan
keselamatan pengunjung, aktiviti-aktiviti tersebut turut diselia oleh jurulatih
dan kakitangan berpengalaman serta terlatih.
Penolong Pendaftar Kanan
UTM yang juga pengurus hutan rekreasi berkenaan, Zaidi Mahmod berkata, hutan
itu baru dibuka semula pada 1 Februari lalu setelah ditutup sejak 13 November
tahun lalu bagi kerja-kerja penambahbaikan dan naik taraf kemudahan asas.
“Biasanya, Hutan
Rekreasi UTM ini menjadi lokasi penganjuran kem perkhemahan, motivasi, team
building dan bina semangat anjuran sekolah, agensi kerajaan, pertubuhan bukan
kerajaan (NGO), swasta dan juga luar negara khususnya dari Singapura.
“Setakat ini ia mendapat
sambutan yang memberangsangkan, bukan sahaja ketika cuti umum dan persekolahan
malah pada hujung minggu,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Menurut Zaidi, bagi
keselesaan pengunjung, pihaknya telah menyediakan kemudahan yang lengkap
seperti tapak perkhemahan yang boleh menampung hingga 50 unit khemah dan
maksimum 200 peserta semalam dan juga empat calet Rumah Kampung UTM.
Kemudahan lain termasuk
dewan terbuka (resak), surau, ruang makan, dapur memasak, tandas lelaki dan
perempuan, ruang BBQ serta sistem siar raya.
“Kita menawarkan lapan
pakej untuk pengunjung yang mahu melakukan aktiviti di hutan rekreasi ini
dengan harga yang cukup berpatutan bermula daripada RM10 dan boleh disesuaikan
mengikut keperluan pelanggan.
“Malah, UTM turut
bekerjasama dengan tiga agensi pelancongan bagi mempromosikan lagi pelbagai
produk pelancongan yang terdapat di universiti ini termasuklah Hutan Rekreasi
UTM,” katanya.
Mereka yang berminat untuk
mengadakan aktiviti di Hutan Rekreasi UTM boleh menghubungi 07-5531216 atau
emel kepada campus.edutourism@utm.my serta melayari www.utm.my/ecotourism untuk
mendapatkan maklumat lanjut mengenai produk pelancongan yang ditawarkan.
-utusan online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.