KUALA LUMPUR 7 Jun -
Jumlah pelancong dari China ke Malaysia akan terus mencatatkan peningkatan
tahun ini dengan disasarkan bakal mencecah tiga juta orang.
Kaunselor Hal Ehwal Konsul
Kedutaan China, Liu Dongyuan berkata, Malaysia telah pun menjadi destinasi
wajib dikunjungi oleh rakyat China disebabkan beberapa faktor yang menarik
minat pelancong ke negara ini.
Katanya, seramai lebih 2.1
juta pelancong dari China melawat Malaysia tahun lalu, peningkatan 26 peratus
berbanding tahun sebelumnya sekali gus mencatatkan rekod baharu kehadiran
pelancong China.
“Sehingga lima bulan pertama
tahun ini pula, kira-kira 1.4 juta pelancong China melawat Malaysia dan jumlah
berkenaan dijangka berkembang melepasi sasaran 3 juta orang,” katanya dalam
majlis makan malam sempena pelantikannya ke jawatan berkenaan baru-baru ini.
Majlis tersebut dianjurkan
oleh Dewan Perdagangan Malaysia-China (MCCC) bagi bertukar pendapat mengenai
pelbagai perkara termasuk visa, hubungan ekonomi dan perdagangan Malaysia-China
serta pendidikan awam. Yang turut hadir, Presiden MCCC, Tan Yew Sing.
Mengulas lanjut, Dongyuan
berkata, Malaysia merupakan destinasi penting kepada pasaran pelancongan China
dengan pelbagai inisiatif telah dilakukan kerajaan termasuk melaksanakan
langkah-langkah memudahkan visa, membuka penerbangan terus, memperkenalkan
perkhidmatan pembayaran mudah alih Alipay dan pelbagai lagi.
Jelas beliau, Malaysia
juga adalah satu daripada negara ASEAN terawal yang menjalinkan hubungan
diplomatik dengan China dan rakyat China juga merupakan pelancong ketiga
terbesar ke Malaysia selepas Singapura dan Indonesia.
Selain itu katanya, China
juga berjanji untuk terus menyediakan perkhidmatan visa yang lebih mudah dan
selesa kepada usahawan Malaysia menjalankan perniagaan di China.
“Namun perlu diingatkan,
semua usahawan yang mahu menjalankan perniagaan di China mestilah mematuhi
peraturan dengan menyediakan surat jemputan secara formal yang dikeluarkan oleh
rakan niaga dari China bagi mendapatkan visa perdagangan dengan mudah,” katanya.
-utusan online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.