Maznah Mazlan (berbaju merah) menyerahkan sijil Malaysia Book Of Records kepada Teh Ming Wah sambil diperhati oleh Daniel Helmstetter (dua dari kiri) di Bukit Tinggi, Bentong, Pahang, semalam.
BENTONG 24 Dis. – Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia menyasarkan kedatangan 29.4 juta pelancong ke negara ini menerusi pelbagai program pelancongan yang diatur untuk tahun hadapan menerusi kalendar Tahun Festival Malaysia 2015 (MyFest 2015).
Timbalan Pengerusinya, Datuk Maznah Mazlan berkata, sasaran itu mampu dicapai menerusi pemilihan kewujudan MyFest2015 yang dilihat dapat membantu menarik minat pelancong dari dalam dan luar negara untuk berkunjung ke Malaysia pada tahun hadapan.
Beliau berkata, MyFest2015 mempunyai keunikannya yang tersendiri kerana menampilkan pelbagai festival daripada etnik-etnik yang terdapat di negara ini dan dapat menonjolkan serta meraikan kepelbagaian budaya dan perayaan yang dapat dijadikan tarikan kepada pelancong.
“Selain festival utama seperti sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Deepavali dan Krismas, antara lain yang akan turut diketengahkan adalah festival berteraskan muzik dan floral.
“Saya juga yakin 2015 merupakan satu lagi era baharu dalam sektor pelancongan dan kebudayaan kita, malah mampu untuk meningkatkan lagi struktur ekonomi dan melonjakkan pendapatan negara,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Menyediakan Kek Krismas Terpanjang Malaysia yang dicatatkan dalam Malaysia Book of Records di Colmar Tropicale Resort Bukit Tinggi, Berjaya Hills dekat sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Berjaya Hills, Teh Ming Wah dan Ketua Cef Kek Krismas Terpanjang, Daniel Helmstetter.
MyFest2015 akan melengkapkan Pelan Transformasi Pelancongan Malaysia dengan sasaran negara untuk menerima sebanyak 36 juta pelancong dan sebanyak RM168 bilion pendapatan pelancongan pada 2020.
Mengulas lanjut, Maznah berkata, pelbagai perancangan kini diatur supaya perjalanan yang dilakukan akan dapat dilaksanakan secara efisien dan berkesan.
“Kita berharap dengan usaha yang sedang giat dijalankan akan membuahkan hasil kerana sekarang ini, promosi domestik ke seluruh negeri juga sedang diatur.
“Malah, kita juga akan memastikan semua pihak berkepentingan seperti pengusaha hotel dan pusat peranginan, ejen-ejen pelancongan dan pemain industri mendapat maklumat terkini agar objektif MyFest 2015 dapat dicapai,” jelasnya.
Katanya, acara pelancongan terbesar untuk tahun hadapan ini selain memberi fokus kepada festival perayaan dan kebudayaan, juga akan mempromosikan program lain termasuk acara yang bersifat kekeluargaan dan membeli-belah.
Maznah berharap semua agensi kerajaan, sektor swasta, pemain dan pengusaha industri pelancongan untuk turut serta menjayakan MyFest 2015.
-utusan online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.