Kuala Kubu Bharu: Sirkit terakhir Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1 Malaysia 2014 di Taman Milenium Kubu Bahru melabuhkan tirai dengan jayanya apabila mencapai matlamat penganjuran dengan purata penyertaan 1,200 setiap sirkit.
Pengarah Kumpulan Harian Metro Datuk Mustapa Omar berkata, antara faktor utama yang berjaya menjadikan penganjuran siri perlumbaan basikal lasak ini mendapat perhatian pelumba MTB di negara ini adalah kerana keistimewaan serta kelainan ditawarkan setiap kali sirkit perlumbaan dilangsungkan.
Katanya, kelebihan itulah yang menjadikan penganjuran MTB Harian Metro ini begitu menarik minat peserta justeru penganjur akan terus bekerjasama dengan penaja untuk menjadikan perlumbaan ini lebih meriah dengan menjanjikan pelbagai kelainan tahun depan.
“Saya berpuas hati dengan penganjuran ini. Ia mencapai matlamat yang disasarkan sebelum ini malah paling membanggakan peningkatan jumlah peserta dari luar negara.
“Mungkin kerana kelainan yang disajikan seperti trek mencabar dan mengikut kehendak pelumba selain memperkenalkan venue yang juga lokasi pelancongan domestik antara faktor menjadikan penganjuran ini mempunyai keistimewaan tersendiri.
“Saya pasti ia mampu menarik lebih banyak penyertaan pada masa akan datang kerana selain berlumba secara tidak langsung peserta juga boleh membawa keluarga untuk bersantai selepas penat berlumba,” katanya.
Gembira dengan maklum balas yang diterima daripada peserta, Mustapa berkata, edisi ketiga penganjuran ini dijangka akan lebih meriah dengan penganjur bakal menawarkan trek baru lebih mencabar selain menekankan aspek keunikan setiap lokasi perlumbaan bersesuaian dengan percutian domestik yang cuba diperkenalkan Kementerian Pelancongan Malaysia.
Bagi memastikan penganjuran ini terus menarik minat pencinta basikal lasak, beliau berkata penganjur menjanjikan kelainan setiap sirkit dan sedang mempertimbangkan untuk menawarkan hadiah lebih lumayan serta cabutan bertuah lebih menarik selain menekankan konsep perlumbaan bercirikan festival.
“Bersesuaian dengan ‘Tahun Festival 2015’ kami akan cuba menjadikan perlumbaan ini lebih mencabar dan meriah. Setiap sirkit yang dianjurkan akan menjurus kepada penganjuran bercirikan festival di setiap lokasi. Pastinya mereka yang membawa keluarga dan anak-anak akan lebih gembira. Berlumba dan bersantai,” katanya.
-www.hmetro.com.my
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.