Mohamed Nazri Aziz (tiga dari kiri) diiringi Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Mirza Mohammad Taiyab (dua dari kiri) bersalaman bersama Presiden Persatuan Teksi Sango Jepun, Yamane Shigetaka (tiga dari kanan) selepas sidang akhbar di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/AIZZUL A. MAJID |
KUALA LUMPUR 1 Jun - Promosi jelajah Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014 di China akan disambung semula dalam masa terdekat setelah tertunda berikutan isu kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, langkah itu berikutan lawatan kerja oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke China sempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Malaysia-China baru-baru ini.
"Lawatan Perdana Menteri ke China telah membantu meredakan keadaan kerana situasi agak tidak menentu ekoran kehilangan pesawat MH370. Namun, syukur Alhamdulilah China tampak lebih tenang selepas lawatan persefahaman itu.
"Malah hubungan itu dijangka lebih baik berikutan kesediaan China untuk meminjamkan dua ekor panda gergasi ke negara kita, saya rasa inilah berita paling baik sejak kehilangan pesawat,'' katanya dalam sidang akhbar berkaitan kerjasama Tourism Malaysia dengan Persatuan Teksi Sango, Jepun di sini hari ini.
April lalu, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan melahirkan kebimbangan ekoran keyakinan rakyatnya untuk melancong ke Malaysia selepas terjejas berikutan insiden kehilangan pesawat MH370 dan penculikan rakyat negara itu di Semporna, Sabah.
Pelancong dari China merupakan penyumbang ketiga terbesar selepas Singapura dan Indonesia dengan rekod 1.6 juta orang tahun lalu dan sempena TMM 2014, kerajaan menyasarkan 28 juta pelancong melawat Malaysia.
Menurut Mohamed Nazri, hampir 30,000 pakej pelancongan ke Malaysia dari China sehingga 2015 telah dibatalkan, malah tiada tempahan direkod bagi penerbangan dari negara tersebut berikutan insiden yang berlaku.
Mengulas lanjut tambah beliau, perjanjian persefahaman juga telah ditandatangani antara Malaysia dan China dalam sektor pelancongan ketika lawatan kerja Perdana Menteri tersebut.
Dalam perkembangan lain, bagi meningkatkan publisiti dan imej Malaysia di Jepun, Tourism Malaysia telah bekerjasama dengan tujuh persatuan teksi dari tujuh buah bandar raya utama di negara Matahari Terbit tersebut.
Bandar raya yang terlibat adalah Osaka, Tokyo, Kobe, Yokohama, Fukuoka, Nagoya dan Sapporo.
-utusan online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.