Wednesday 27 June 2012

Rafflesia 10 kelopak

IYLIA Ainuddin (kanan) bersama Pegawai Penyelidik FRIM, Siti Munirah Mat Yunoh menunjukkan bunga Rafflesia yang mempunyai 10 kelopak bunga di Royal Belom, Gerik, semalam. - utusan/Roy Azis Abd Aziz


IPOH 26 Jun - Bunga pakma atau Rafflesia iaitu bunga terbesar di dunia lazimnya ditemui mempunyai lima kelopak. Bagaimanapun, spesies hibrid betina fauna berkenaan ditemui memiliki 10 kelopak berdiameter 46 sentimeter di Sungai Gadong, Taman Negeri Royal Belum, Gerik dekat sini, Sabtu lalu.


Tumbuhan parasit tersebut ditemui seorang pekerja Perbadanan Taman Negeri Perak ketika menjalankan kerja-kerja rutin harian menyelia kawasan berkenaan. Pengurus Perbadanan Taman Negeri, Iylia Ainuddin berkata, penemuan bunga itu yang dikenal pasti sebagai hasil evolusi antara spesies R. azlanii dan R. cantleyi telah disahkan sebagai yang pertama di dunia. Beliau berkata, perkara itu diakui sendiri oleh para penyelidik daripada Institusi Penyelidikan dan Perhutanan Malaysia (FRIM) hari ini.


"Rafflesia merupakan tumbuhan yang terdapat di hutan sekitar Asia Tenggara dan pada kelazimannya, ia mempunyai habitat di sekitar kawasan lereng bukit berdekatan sumber air seperti air terjun dan anak sungai. "Pada tahun lalu, bunga Rafflesia tujuh kelopak juga ditemui di Taman Negeri Royal Belum sementara jenis enam kelopak pernah dijumpai di Sarawak," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.


Dalam pada itu, Iylia memberitahu, daripada 117,500 hektar kawasan hutan yang digazet sebagai Taman Negeri Royal Belum pada 2007, terdapat 12 lokasi telah dikenal pasti menjadi kawasan utama pertumbuhan semulajadi hidupan berkenaan. Beliau berkata, terdapat tiga spesies Rafflesia yang wujud di Taman Negeri Royal Belum ketika ini iaitu R. azlanii, R. cantleyi dan R. kerrii. Justeru katanya, bunga Rafflesia unik yang ditemui itu akan diawet bagi tujuan penyelidikan oleh pihak FRIM bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).


"Kelopak bunga Rafflesia biasanya akan mula kembang dalam tempoh usia lapan hingga 10 bulan, sebelum ia mula mengecut selepas lima ke tujuh hari sehingga warnanya bertukar menjadi hitam,'' katanya. "Selepas ini, mungkin bunga Rafflesia asli itu akan disimpan di FRIM sementara replikanya yang mempunyai saiz sama akan dipamerkan di taman negeri untuk tatapan para pengunjung," katanya.
-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.