Thursday 18 November 2021

UMT Meterai Kerjasama Dengan Tourism Malaysia

 


PUTRAJAYA, 17 November 2021 – Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Tourism Malaysia melakar sejarah apabila menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) bagi membangunkan program latihan profesional dan akademik serta perkongsian kepakaran termasuk kajian penyelidikan bersama dalam bidang berkaitan pelancongan.


Memorandum itu ditandatangani oleh Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Mazlan Abdul Ghaffar dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Dato’ Hj. Zainuddin Abdul Wahab serta disaksikan oleh Dekan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial UMT, Prof. Dr. Mohd Shaladdin Muda dan Pengarah Bahagian Pentadbiran Tourism Malaysia, Encik Saidi Bundan di Pusat Komunikasi Strategik UMT, Putrajaya semalam.


Dengan pemeteraian MoC tersebut, hubungan industri dan akademik antara UMT dan Tourism Malaysia dapat terus diperkukuh dalam sebarang penyertaan aktiviti pelancongan dan komuniti termasuk kesukarelawanan, pendidikan serta potensi kolaborasi yang boleh memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak.


Prof. Dr Mazlan berkata, UMT mengalu-alukan kerjasama strategik dengan Tourism Malaysia bagi meningkatkan kualiti serta kecemerlangan pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan, selari dengan misi universiti yang memfokuskan kepada kajian sains marin serta impak peningkatan sosioekonomi terhadap taraf hidup komuniti.


“Menerusi kerjasama ini, UMT turut dapat memperkasa penawaran pakej pelancongan pendidikan (EduTourism) kepada pelancong tempatan dan antarabangsa sekali gus berupaya mempromosikan keunikan pelancongan marin di Terengganu,” katanya.


Sementara itu, Dato’ Hj. Zainuddin berkata, kerjasama dengan UMT telah bermula dengan pertukaran ilmu dan kepakaran menerusi penganjuran program ‘Industry Talk’ dan Program Sangkutan Industri.


“Malahan, kita juga telah melantik UMT sebagai wakil tetap bagi pasukan petugas (task force) Tourism Malaysia Marketing Plan 2022-2026 untuk membantu merangka strategi pemasaran pelancongan serta memberikan idea bernas khususnya dari sudut pandang akademik,” katanya.

-Tourism Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.