21 Jun 2021 -
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) merupakan agensi
Kerajaan yang menguatkuasakan Akta Industri Pelancongan 1992 [Akta 482] dan
Peraturan-Peraturan. Antara bidang kuasa MOTAC dalam menguatkuasakan Akta 482
ialah melesenkan Pengusaha-Pengusaha Pelancongan di bawah Seksyen 5 dan Pemandu
Pelancong di bawah Seksyen 21.
MOTAC sentiasa prihatin dengan senario cabaran
besar dan berterusan yang masih dihadapi oleh penggiat industri pelancongan
susulan impak pandemik COVID-19. Mengambil kira cabaran berkenaan, MOTAC
bersetuju untuk melaksanakan inisiatif berikut:
- Pelanjutan pengecualian fi pembaharuan lesen
dan lesen-lesen tambahan bagi pengusaha-pengusaha pelancongan dan pemandu
pelancong yang memohon pembaharuan lesen bermula dari 1 Julai 2021
sehingga 31 Disember 2021;
- Pengecualian fi pembaharuan lesen dan
lesen-lesen tambahan bagi pengusaha-pengusaha pelancongan dan pemandu
pelancong yang belum mendapat kelulusan pembaharuan lesen disebabkan oleh
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP); dan
- Pengecualian fi pembaharuan lesen dan
lesen-lesen tambahan bagi pengusaha-pengusaha pelancongan dan pemandu
pelancong yang telah mendapat keputusan pembaharuan lesen namun tidak
dapat membuat bayaran fi lesen disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan
(PKP).
Justeru, dengan pelaksanaan pelanjutan inisiatif
ini, MOTAC berharap pengusaha pelancongan dan pemandu pelancong yang layak
mengambil peluang ini untuk membuat permohonan pembaharuan lesen dalam tempoh
yang ditetapkan mengikut tarikh tamat lesen masing-masing bagi memastikan
pengecualian ini dapat dinikmati.
Pihak Kementerian turut menyeru semua pengusaha
pelancongan dan pemandu pelancong yang terlibat untuk membuat pembaharuan lesen
dalam tempoh yang ditetapkan bagi memastikan pematuhan kepada perundangan sedia
ada.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.