Sunday, 28 July 2019

Indonesia sumbang RM2.8 billion untuk industri pelancongan Malaysia


JAKARTA, 28 Julai (Bernama) -- Pelancong Indonesia ke Malaysia berbelanja RM2.83 bilion sepanjang tahun 2018, menjadi pelancong asing ketiga terbesar menyumbang kepada industri pelancongan Malaysia selepas pelancong Singapura dan China.

Pengarah Tourism Malaysia di Indonesia, Roslan Othman berkata pihaknya kini memfokuskan promosi hebat untuk menarik lebih ramai pelancong Indonesia ke Malaysia menerusi pelbagai program menarik.

Satu daripadanya adalah program " Miss Sophia: Shopping Hunt", yang meskipun baharu buat rakyat Indonesia, namun dilihat berpotensi besar menjadi tarikan baharu kepada warga Indonesia.

Sejumlah 44 pasukan menyertai program "Miss Sophia: Shopping Hunt: Road to Malaysia" yang diadakan di Kompleks Membeli belah Kota Kasablanka di Jakarta hari ini.

"Program Shopping Hunt ini merupakan sesuatu yang baharu, dan pertama kali diperkenalkan di Jakarta, dan mendapat sambutan hebat.

"Pemenang program ini akan menjadi wakil rasmi Indonesia, yang ditaja sepenuhnya oleh Tourism Malaysia untuk menyertai program Miss Sophia: Shopping Hunt 3.0 yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 15 Sept ini," katanya.

Beliau berkata dijangkakan 200 peserta dari Indonesia akan menyertai program di Kuala Lumpur nanti.

"Pemain-pemain industri pelancongan di Malaysia perlu menjadikan Indonesia sebagai pasaran utama.

"Pada tahun lepas, pelancong Indonesia adalah penyumbang ketiga terbesar untuk industri pelancongan Malaysia iaitu RM2.83 bilion selepas Singapura (RM6.17 bilion) dan China(RM3.7 bilion).

"Sasaran pelancong Indonesia ke Malaysia tahun ini adalah 3.6 juta dan bagi tahun depan, bersempena Tahun Melawat Malaysia 2020 adalah 4 juta pelancong," katanya.
-bernama.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.