Di Pulau Langkawi, terdapat banyak hotel dan inap
desa (homestay) yang menawarkan pelbagai aktiviti pelancongan menarik kepada
pengunjung yang ingin menikmati percutian santai dan menyeronokkan.
Destini Akef Villa merupakan salah satu daripadanya
yang sentiasa bersedia memenuhi permintaan pelancong yang inginkan kepuasan
ketika bercuti.
Walaupun agak baharu bagi kebanyakan pengunjung
yang sudah biasa bercuti di pulau itu, namun ramai pengunjung tempatan dan
pelancong asing dari negara-negara Asia Barat, China, Rusia dan Finland memilih
Destini Akef Villa sebagai lokasi penginapan.
Pengurusnya, Norazam Othman, berkata, Destini Akef
Villa dibuka pada Disember 2016 dengan permulaan sebanyak 20 buah bilik
ditawarkan.
“Hanya pada tahun berikutnya barulah kesemua 40
buah bilik dibuka kepada pengunjung. Harga berbeza mengikut jenis bilik, namun
kadar sewa bagi bilik yang menempatkan katil single dan queen adalah sama.
“Harga satu malam bagi bilik Deluxe adalah RM195
(single/queen), Super Deluxe (RM235), Superior (RM175, single/queen) dan Super
Superior (RM215).
“Antara kemudahan disediakan adalah kolam renang
(untuk dewasa dan kanak-kanak), ruang makan, ruang resepsi yang dilengkapi
pendingin hawa, kemudahan mesyuarat dan tempat letak kereta. Sarapan turut
disediakan kepada pelanggan,” katanya.
Tambah Norazam, pihaknya turut menyediakan pelbagai
program pelancongan sekiranya pelancong ingin masa percutian mereka diisi
dengan aktiviti lasak dan santai.
“Kami boleh bawa mereka melakukan aktiviti sukan
air seperti ski air, selam skuba, bot pisang, papan luncur, layar-layang
(parasailing), mengelilingi pantai atau danau dan jelajah pulau ke pulau. Jika
pengunjung ingin merasai pengalaman menaiki helikopter, kami juga boleh aturkan
perjalanan anda,” katanya.
Berhampiran dengan Destini Akef Villa terdapat
Telaga Walk @Chenang yang boleh dikunjungi mereka yang ingin bersantai sambil
menikmati angin malam bersama keluarga.
Di lokasi itu, terdapat banyak pilihan restoran
yang boleh disinggahi bagi menikmati makan malam. Kedai menjual pelbagai
barangan turut disediakan.
Bagi kanak-kanak, sudah tentu kereta berhias cantik
dengan lampu warna-warni yang diubah suai seperti basikal ala-ala beca menjadi
tumpuan.
“Aktiviti lain yang diadakan adalah menjemput
penceramah agama dan artis di kawasan berdekatan bagi memeriahkan lagi suasana
Telaga Walk@Chenang,” katanya.
-utusan online.http://www.destiniakef.com/
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.