Pengerusi Jawatankuasa Pe­lancongan dan Kebudayaan ne­geri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, lebih 32 agensi di peringkat Persekutuan, negeri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dijangka me­nyertai program khas Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan sempena Tahun Melawat Pahang 2017 itu.

“Penganjurannya sebagai lang­kah memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kepentingan menjaga sumber alam yang mempunyai keunikan tersendiri dan secara tidak langsung mempromosikan Sungai Pahang sebagai khazanah dan warisan negeri yang perlu dihargai.

“Selain pesta ini, pelancong boleh mengambil peluang mengunjungi tempat-tempat menarik dan peninggalan sejarah di Chenor antaranya Bukit Kertau yang menjadi lokasi pusat pe­metaan, Rumah Warisan Melayu dan Makam Pahlawan,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Menurut Mohd. Sharkar, sebanyak 49 aktiviti disediakan kepada pengunjung sepanjang program tersebut melibatkan 34 acara di darat manakala selebih­nya di sungai.

Antara acara yang disediakan, kata beliau, adalah permainan tradisional, sukan rakyat, perlumbaan kayak dan lumba pe­rahu, pertandingan rakit cantik serta pertandingan masakan tradisional Pahang.

“Turut diselitkan, per­sem­ba­han kebudayaan, de­­monstrasi cegah jenayah, per­­tandingan me­warna, persembahan wayang kulit dan jualan,” katanya.
-utusan online.