Wednesday, 4 April 2012

SMS program tarik pelancong ke Perak


Hamidah Osman (kanan) menerima penajaan daripada Celcom yang disampaikan oleh Farizad Khan Mohd. Ali (kiri) di Ipoh, Perak, kelmarin.

IPOH 3 April - Kira-kira 250,000 pengguna Celcom yang berada di kawasan utara akan dibekalkan maklumat mengenai program yang dijalankan di sekitar negeri ini sempena Tahun Melawat Perak 2012.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita negeri, Datuk Hamidah Osman berkata, selain perkhidmatan tersebut, pengguna yang melalui 11 kawasan terpilih juga bakal menerima pesanan khas mengenai tempat menarik di kawasan dilalui. Jelas beliau, kawasan tersebut termasuk Teluk Intan dengan pesanan Datanglah ke Menara Condong, Ipoh (Selamat datang ke Ipoh), Slim River (Datanglah ke Hot Spring Sungai Klah) dan Taiping (Datanglah ke Zoo Taiping).

"Kita amat berharap, maklumat yang disalurkan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) itu akan bertukar dari tangan ke tangan kira-kira 13 juta pengguna Celcom di seluruh negara.

"Ini antara lain untuk menarik lebih ramai pelancong domestik dan asing ke negeri ini sempena Tahun Melawat Perak 2012. Kita mahu mereka mendapat maklumat menyeluruh mengenai tempat menarik dan aktiviti yang kita jalankan," katanya pada sidang akhbar mengumumkan Celcom sebagai penaja Tahun Melawat Perak 2012 di pejabatnya di sini semalam.

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Wilayah Utara Celcom Axiata Berhad, Farizad Khan Mohd. Ali berkata, pihaknya akan turut serta di 32 lokasi yang dilawati dalam program Tahun Melawat Perak 2012 tersebut. "Setiap lokasi, kami membuka gerai Celcom dengan menawarkan harga istimewa kepada peserta dan pengunjung. "Selain itu, 20 pelanggan bertuah juga menerima nombor prabayar istimewa dan pek permulaan pasca bayar percuma," katanya.

-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.