Monday, 30 April 2012

Promosi candat sotong ke peringkat global


KUALA TERENGGANU 29 April - Aktiviti mencandat sotong di perairan negeri ini melalui pakej terancang akan dipromosikan ke peringkat antarabangsa sempena Tahun Melawat Terengganu 2013.


Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) Terengganu, Mohd. Nasir Kushairi berkata, aktiviti menarik yang menyajikan pengalaman unik itu tidak seharusnya disia-siakan untuk menarik pelancong. "Aktiviti tersebut akan dipromosikan di semua 44 pejabat Tourism Malaysia di seluruh dunia sebagai salah satu tarikan ke Malaysia khususnya Terengganu. "Mencandat sotong merupakan satu aktiviti yang unik dan hanya boleh dilakukan pada musim tertentu iaitu pada April hingga pertengahan Jun setiap tahun," katanya.


Beliau berkata demikian sempena majlis ramah mesra bersama media dan meraikan Kelab Rekreasi Tourism Malaysia 'Jom Gi Candat 2012' di Hotel Seri Malaysia Marang di sini semalam. Sehubungan itu katanya, Tourism Malaysia Terengganu akan bekerjasama dengan agensi pelancongan, pengusaha bot dan hotel bagi menyediakan pakej yang menarik. Katanya, beberapa siri perbincangan dan pertemuan dengan agensi yang berkaitan sudah dilakukan untuk memastikan pakej yang disediakan selaras dari segi kemudahan, keselesaan dan kadar harga.


Nasir berkata, sebagai contoh pada masa ini kadar sewa bot yang ditetapkan oleh tekong bot adalah berbeza dan ia boleh mengelirukan pelancong terutama yang pertama kali menyertai aktiviti tersebut. Beliau berkata, dengan adanya penyelarasan itu aktiviti mencandat sotong dapat dipromosikan dengan sempurna yang diharapkan ia akan menjadi aktiviti terunggul di negeri ini setaraf dengan Piala Monsun dan kejohanan kuda lasak.


Selain itu katanya, Tourism Malaysia Terengganu akan melancarkan Pakej Pelancongan Berbasikal yang berkonsepkan kayuhan riadah di Pantai Batu Buruk pada 19 Mei ini. Menurut beliau, program yang dilancarkan di peringkat kebangsaan pada 31 Mac lalu diharap dapat mempromosi tempat-tempat rekreasi dan pelancongan menarik selain dapat menyemai gaya hidup sihat menerusi sukan berbasikal.
-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.