Saturday, 11 June 2011

Hard Rock Cafe Melaka dibuka hujung 2012



MOHD. Ali Rustam mendengar penjelasan mengenai model Hard Rock Cafe yang bakal dibina di Bandaraya Melaka Bersejarah di Jonker Walk, semalam.


MELAKA 10 Jun - Hard Rock Cafe Melaka di Jonker Walk bernilai RM17 juta dijangka siap dan dibuka kepada orang ramai penghujung tahun depan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, pembinaan Hard Rock Cafe di bandar raya bersejarah itu adalah yang ketiga di negara ini selepas Kuala Lumpur pada 1991 dan Pulau Pinang pada 2009.

Menurutnya, Hard Rock Cafe Melaka bakal menjadi tarikan terbaru di negeri ini yang sekali gus memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

"Pembinaan Hard Rock Cafe membuktikan kepercayaan pelabur terhadap pertumbuhan pesat industri pelancongan di sini. Saya sangat teruja dengan adanya Hard Rock Cafe yang cukup terkenal di seluruh dunia dan kini sudah berada di Melaka dan saya harap ia dapat dibuka lebih awal," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis pecah tanah tapak pembinaan Hard Rock Cafe di Jonker Walk di sini semalam. Turut hadir Pengerusi Hard Rock Cafe Enterprise (M) Sdn. Bhd., Tan Sri Syed Yusof Tun Syed Nasir dan Naib Presiden Franchise Operasi dan Pembangunan Hard Rock International, Michael Beachem. Sementara itu Syed Yusof berkata, pembinaan premis itu di kawasan seluas 9,000 meter persegi akan menerapkan senibina klasik, selaras dengan lokasinya berada di kawasan tapak warisan dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

"Hard Rock Cafe Melaka akan menyediakan perkhidmatan terbaik, hidangan makanan klasik Amerika Syarikat dan tempatan serta persembahan secara langsung oleh kumpulan pemuzik tempatan atau luar negara," katanya. Beliau menjangkakan kira-kira 30,000 hingga 40,000 pengunjung mengunjungi restoran tersebut setiap bulan apabila dibuka nanti.

-Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.