Monday 7 October 2024

Melaka tawar diri tuan rumah pelancaran VM2026

 


AYER KEROH: Melaka menawarkan diri sebagai tuan rumah bagi pelancaran rasmi Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) sempena Hari Pelancongan Dunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) yang dijadual berlangsung September tahun depan.


Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata cadangan itu disuarakan beliau kepada pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk dibawa kepada perbincangan pada peringkat Kerajaan Persekutuan sejajar kejayaan Melaka dalam pelaksanaan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024) Ketika ini.


"Saya memohon cadangan ini dibawa ke peringkat Persekutuan susulan 151 menteri pelancongan dari seluruh dunia akan berada di Melaka tahun depan, jadi sesuai jika ia dipertimbangkan supaya pelancaran VM2026 diadakan di Melaka sempena WTD dan WTC," katanya selepas menutup Explorace Melaka 2024 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.


Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azhar Arshad; EXCO Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan; Timbalannya, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halim dan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional (BERNAMA), Datuk Seri Wong Chun Wai.


Melaka Explorace 2024 yang julung kali diadakan di Melaka itu disertai kira-kira 300 peserta dari seluruh negara yang menjelajah ke seluruh negeri membabitkan tiga daerah iaitu Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah.


Selain dapat menikmati suasana lokasi pelancongan di negeri bersejarah itu, peserta juga dapat merapatkan silaturahim antara pengamal media dan pada masa sama memberi peluang peserta meneroka sejarah serta khazanah unik di Melaka.


Peserta menyempurnakan misi diberikan secara berjalan kaki, berkenderaan, menaiki beca dan Melaka River Cruise.


Sementara itu, mengulas TMM2024, Ab Rauf berkata, berkata walaupun kempen dan sambutan itu berakhir 31 Disember ini, namun pelbagai program berkaitan aktiviti pelancongan tetap dilaksanakan bagi menyokong dan menjayakan MTD serta WTC.


Katanya, aktiviti terbabit diteruskan menerusi pelbagai program menjurus kepada aktiviti pelancongan dengan pengiktirafan Melaka sebagai tuan rumah kepada kedua-dua acara dunia berprestij itu.


"Melaka akan menggunakan WTD dan WTC ini sebagai platform mempromosikan negeri pada peringkat dunia, selain bersama-sama meraikan VM2026," katanya.

-berita harian online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.