KUALA LUMPUR, 8 Oktober 2024 – Majlis Prapelancaran Karnival Cuti-Cuti Malaysia (KCCM) 2024 yang diadakan di Kompleks Kraf, Jalan Conlay, Kuala Lumpur pada hari
ini, bakal menawarkan lebih 100 pakej pelancongan dengan tawaran diskaun menarik
antara 15
sehingga 50 peratus. Karnival Cuti-Cuti Malaysia ini bakal berlangsung dari 25 hingga 27
Oktober 2024 di lokasi yang sama.
Karnival Cuti-Cuti
Malaysia 2024 (KCCM 2024) merupakan acara julung-julung kali yang diperkenalkan melalui kerjasama
strategik antara Tourism Malaysia dan Kraftangan
Malaysia. Bertemakan ‘Crafting Holidays’, karnival ini menawarkan peluang kepada pelancong
untuk merancang percutian sambil menikmati pengalaman secara langsung
dalam aktiviti seni, kraftangan, dan budaya warisan tempatan.
Antara pakej
pelancongan menarik dalam negara yang ditawarkan, merangkumi destinasi alam
semula jadi, pengalaman budaya dan aktiviti pengembaraan. Pengunjung boleh
menikmati tawaran percutian yang meliputi destinasi popular di seluruh Malaysia,
serta aktiviti unik seperti jelajah
warisan, sukan air, selam skuba, birding, stargazing dan
pengembaraan alam. Acara ini juga menggabungkan pameran, jualan pakej percutian, produk kraftangan, serta demonstrasi budaya dan masakan.
YB Tuan Khairul Firdaus
Akbar Khan, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya berkata,
penganjuran acara KCCM 2024 bertujuan merancakkan lagi aktiviti pelancongan domestik menerusi penjualan pakej pelancongan secara terus kepada pengguna
selain menggalakkan rakyat Malaysia untuk merancang percutian di dalam negara.
“Pada masa yang sama, kita mahu membantu meningkatkan ekonomi penggiat industri tempatan menerusi penglibatan lebih 100 wakil industri yang terdiri daripada jabatan
pelancongan negeri, agensi pelancongan, pemilik produk pelancongan, hotel, taman
tema serta pengusaha kraftangan. Ini juga akan menyumbang kepada peningkatan
kunjungan orang ramai ke Kompleks
Kraf,” katanya.
Salah satu tarikan utama di KCCM 2024 adalah Pasar Saloma, iaitu sebuah platform niaga untuk usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang mengetengahkan konsep perkampungan Melayu klasik.
Pasar Saloma akan hadir dengan tema nostalgia,
di mana lebih daripada 30 reruai akan menampilkan peniaga berbusana tradisi sambil
menawarkan pelbagai
jualan seperti juadah
tradisional, dan produk-produk unik yang digemari
sejak turun-temurun.
Selain menikmati
tawaran menarik dari Pasar Saloma, acara ini turut dimeriahkan dengan persembahan artis, tarian kebudayaan, demonstrasi kraftangan,
pertunjukan roti canai terbang, serta cabutan bertuah. Pengunjung juga
berpeluang menyertai pelbagai aktiviti interaktif seperti permainan tradisional
dan aktiviti hiburan lain, menjadikan karnival ini destinasi ideal untuk seisi
keluarga sambil merancang percutian domestik.
Selain itu, KCCM
2024 turut disertai oleh pelbagai jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya seperti Jabatan
Warisan Negara, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian
Negara, Istana Budaya, Akademi Seni Budaya dan Warisan
Kebangsaan, Kraftangan Malaysia, Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, serta Hotel Seri Malaysia.
Selain itu, untuk
memastikan keselesaan para pengunjung, perkhidmatan shuttle disediakan dengan
laluan dari tempat letak kereta Malaysia Design Development Centre (DDEC) dan
MATIC terus ke Kompleks Kraf. Pengunjung juga boleh memanfaatkan kemudahan
pengangkutan awam, termasuk MRT yang berhenti di Stesen Jalan Conlay, serta Bas KL Hop-On Hop-Off (KL HOHO) yang turut berhenti
di hadapan Kompleks
Kraf.
Pengunjung turut berpeluang mendapatkan pemeriksaan kesihatan di Klinik Bergerak
yang disediakan, menawarkan
perkhidmatan pemeriksaan secara mudah alih. Klinik ini dilengkapi dengan
kemudahan untuk pemeriksaan umum dan rawatan kecil bagi orang ramai.
Mendepani Tahun Melawat Malaysia 2026, Tourism Malaysia akan memperhebatkan usaha promosi dan pemasaran pelancongan
domestik untuk merancakkan lagi aktiviti pelancongan, dengan sasaran mencapai 220 juta pelawat domestik pada tahun 2024.
Usaha ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan
pertumbuhan sektor pelancongan yang mampan dan menyumbang kepada ekonomi negara.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.