Tuesday 24 September 2024

TMM2024: Set Kombo Menu RM10 dilancar sempena Program Melaka Bila Larut Malam

 


MELAKA: Kerajaan negeri melancarkan Set Kombo Menu RM10, malam tadi, bagi Program Melaka Bila Larut Malam bermula 5 Oktober hingga 2 November ini.


Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata inisiatif berkenaan bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) membabitkan penyertaan 30 pengusaha restoran, kafe dan kedai makan di negeri itu.


Beliau berkata, antara pengusaha terbabit ialah ialah Kilang Makan, Parang Cafe dan The Windmill Station membabitkan pelbagai jenis menu termasuk laksa nyonya, cendol durian dan makanan barat.


"Inisiatif ini dilaksanakan hanya pada setiap minggu pertama setiap bulan sempena Program Melaka Bila Larut Malam bermula jam 11 malam hingga 2 pagi dan bakal menjadi satu daya tarikan baharu produk pelancongan negeri sempena TMM2024.


"Menerusi tawaran Menu RM10 ini memberi peluang kepada pengunjung untuk menikmati pelbagai juadah berkualiti tinggi dengan harga lebih murah.


Usaha ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada pengunjung dan pelancong yang tidak henti-henti menyokong sekali gus memberi limpahan ekonomi terhadap sektor pelancongan di negeri ini," katanya selepas melancarkan Set Kombo Menu RM10 di Kilang Makan, Jalan Tun Ali, di sini, malam tadi.


Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azhar Arshad; EXCO Kanan Negeri, Datuk Rais Yasin; EXCO Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abd Razak Abd Rahman dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman.


Inisiatif Set Kombo Menu RM10 itu turut dijayakan bersama Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) negeri, MBMB serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka.


Antara menu ditawarkan adalah set ikan asam pedas beserta nasi, bubur nasi berlauk, Cendol Kampung Hulu, makanan laut bakar, pasembur, mi kari serta beberapa jenis makanan dari Timur Tengah.


Ab Rauf berkata, seramai 30 pengusaha restoran, kafe dan kedai makan bersetuju menyertai program ini berkenaan dan jumlah itu dijangka bertambah selepas pelaksanaannya minggu depan.


Sehubungan itu, beliau mahu semua pengusaha perniagaan makanan terbabit menggunakan peluang itu sebaik mungkin untuk mengolah menu terbaik dengan nilai RM10, sekali gus dapat menarik minat pengunjung yang akan membanjiri Melaka ketika pelaksanaan program MBLM.


"Selain itu, saya juga meminta semua pengusaha kedai makan untuk sama-sama cakna dengan kualiti makanan yang disediakan, di samping mengutamakan aspek kebersihan di persekitaran premis makanan masing-masing.


"Saya optimis, inisiatif ini akan berjaya menjadi tarikan baharu buat pengunjung mahu pun pelancong untuk datang ke Melaka, di samping menjadi platform untuk pengusaha meningkatkan sumber pendapatan dan meluaskan promosi produk makanan masing-masing," katanya.

-berita harian online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.