Monday, 2 September 2024

TMM2024: Melaka anjur beberapa acara besar pelancongan antarabangsa

 


MELAKA: Beberapa acara besar pelancongan peringkat antarabangsa bakal diadakan di negeri ini dalam tempoh empat bulan terakhir penganjuran Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).


EXCO Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abd Razak Abd Rahman berkata antaranya acara tahunan Karnival Udara Antarabangsa Melaka (KUAM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam bulan depan.


Katanya, selain itu, Pesta Kebudayaan ASEAN yang diadakan serentak dengan Mesyuarat Menteri-menteri Kebudayaan dan Kesenian ASEAN (AMCA) Ke-11 pada bulan sama.


"Pada Oktober juga, kerajaan negeri menganjurkan Festival Sungai Antarabangsa Melaka yang akan menampilkan sedikit kelainan berbanding 2023 di samping Explorace Melaka 2024 yang bakal menghimpunkan ramai peminat aktiviti riadah itu termasuk pengamal media dari seluruh negara.


"Kita juga tidak pernah lupa untuk menganjurkan program berbentuk keagamaan dengan merencana beberapa aktiviti menarik sempena sambutan Maulidur Rasul," katanya.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas ditemui selepas menutup Program Kayuhan Merdeka MADANI peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas, di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Temu di sini hari ini. Kayuhan sejauh 18 kilometer turut disertai Abd Razak bersama lebih 1,000 peserta.


Yang turut hadir, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Ibrahim Fadzil serta Pengerusi program, Datuk Akramuddin Abd Aziz.


Abd Razak berkata AMCA Ke-11 akan diadakan pada 21 hingga 26 Oktober yang akan menghimpunkan pemimpin 10 negara bagi membincangkan isu berkaitan pelancongan dan kebudayaan selain membuka peluang pertukaran budaya serta kesenian antara negara ASEAN.


Penganjuran mesyuarat antarabangsa terbabit sekali gus dapat meningkatkan profil Melaka sebagai destinasi pelancongan dan pusat kebudayaan di peringkat negara dan antarabangsa. Menurutnya, program pelancongan berbentuk ilmiah, riadah, hiburan dan sukan akan bertambah rancak bermula November hingga Disember ini.


"Kerajaan negeri sudah merancang untuk mengadakan aktiviti pelancongan terbabit dengan kekerapan sekurang-kurangnya dua kali seminggu, khususnya pada cuti persekolahan," katanya.


Abd Razak berkata, dengan mengekalkan program pelancongan yang mendapat sambutan pengunjung terutama Program Melaka Bila Larut Malam, pihaknya turut bersedia untuk memastikan produk sedia ada ditambah baik bagi keselesaan pengunjung.


"Menerusi perancangan pelancongan itu, saya yakin sasaran kerajaan negeri untuk menarik 15 juta hingga 18.7 juta pelancong ke Melaka sepanjang tahun ini akan tercapai," katanya.

-berita harian online.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.