MUKADIMAH
SELEPAS lebih dua tahun pandemik Covid-19, sektor pelancongan menunjukkan tanda positif ke arah pemulihan.
Buktinya dapat dilihat di pintu masuk negara dan kawasan tumpuan apabila dibanjiri kehadiran pelancong terutama dari luar negara.
Namun, ada pelbagai persoalan yang menyentuh kepada aspek pelancongan terutama menjelang sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026 nanti.
Justeru wartawan Mingguan Malaysia, IMRAN MOHAMAD NOR dan MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemuramah Ketua Pengarah Tourism Malaysia DATUK DR. AMMAR ABD. GHAPAR bagi mendapatkan perspektif beliau. Turut membantu jurugambar FAISOL MUSTAFA
MINGGUAN MALAYSIA: Sejauh mana kejatuhan matawang Ringgit memberi implikasi kedatangan pelancong luar negara ke Malaysia?
AMMAR: Sudah tentu ia memberi implikasi yang baik untuk negara. Pada saya, ringgit yang lemah mampu menarik minat pelancong asing datang berbelanja, sekali gus menyumbang pendapatan negara. Apabila kehadiran ramai pelancong, permintaan terhadap ringgit juga akan lebih tinggi dan dapat memperbaiki prestasi semasa nilai mata wang kita.
Di samping itu, ini juga sudah pasti mendatangkan faedah terutamanya mereka yang negaranya mempunyai nilai mata wang lebih tinggi. Buktinya ada dan contoh paling mudah kedatangan pelancong dari Singapura. Setakat ini, kedatangan mereka antara paling ramai iaitu 5.2 juta pada tahun lepas.
Adakah berlaku pertambahan masuk pelancong setakat ini dan kebanyakan dari negara mana?
Setakat Mac tahun ini, kita berjaya merekodkan kemasukan 4.4 juta pelancong asing ke Malaysia yang mewakili 38.6% daripada jumlah keseluruhan pelancong pada 2019 iaitu sebelum pandemik.
Penyumbang utama melibatkan pelancong luar jarak dekat seperti Singapura, Indonesia, Thailand, Brunei dan juga China.
Pelancong Singapura mencatatkan jumlah perbelanjaan tertinggi iaitu RM2.71 bilion, diikuti Indonesia (RM1.95 bilion), China (RM1.82 bilion), India (RM741.9 juta) dan Thailand (RM605.2 juta).
POTENSI PELANCONGAN KETENTERAAN
Sejauh mana potensi Malaysia dalam aspek military tourism (pelancongan ketenteraan) setakat ini? Adakah terdapat usaha pemeliharaan dan pemuliharaan tapak tinggalan sejarah perang seperti di Kampar?
Sebenarnya konsep ini sudah lama kita promosikan terutama berkaitan dengan tapak tinggalan sejarah perang, muzium tentera, tapak pertempuran dan perkuburan, kubu, kota pertahanan dan juga elemen teknologi ketenteraan.
Itu belum lagi di Taman Peringatan Sandakan dan Tapak Perkuburan Perang Labuan. Ia cukup popular untuk pelancong luar negara seperti Australia dan New Zealand yang mempunyai pertalian sejarah pada era Perang Dunia Kedua.
Adakah terdapat tapak baharu yang ditemui untuk diketengahkan dalam pelancongan ketenteraan?
Kita sedang mengenal pasti tapak-tapak tinggalan sejarah yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai produk pelancongan seperti Muzium Perang Batu Maung di Pulau Pinang, Muzium Tentera Darat di Port Dickson, Kompleks Sejarah Pasir Salak, dan juga Muzium Matang, Kota Ngah Ibrahim di Perak.
Jadi, kami akan bekerjasama dengan Jabatan Warisan Negara, badan-badan pelancongan negeri berkaitan dan pengusaha pelancongan serta persatuan aktivis seperti Persatuan Sejarah Malaya (MHG) untuk membangunkan pakej pelancongan yang bersesuaian.
Jika dibandingkan negara lain, sejauh mana Malaysia serius membangunkan konsep pelancongan ketenteraan walaupun ia pernah diperkatakan sebelum ini?
Apa yang kita lihat pembangunan military tourism atau pelancongan ketenteraan ini dijalankan dengan bersepadu menerusi sokongan pelbagai pihak. Kesemua lokasi kubu pertahanan ini perlu digunakan sepenuhnya demi kepentingan pemeliharaan khazanah warisan.
Kita yakin military tourism boleh dijadikan sebagai satu produk yang berdaya saing bukan sahaja di peringkat domestik tetapi antarabangsa.
Sebab itu, saya kata kita perlu ada gabungan dan kerjasama. Tourism Malaysia bergerak bersama Jabatan Warisan Negara. Kerja mereka untuk pemuliharaan. Kalau kita mahu promosikan produk berkaitan pelancongan ketenteraan, kadang-kadang akses dan infrastruktur tiada.
Bayangkan, kalau kita mahu promosi dalam kapasiti besar, orang hendak sampai ke kawasan tersebut bagaimana? Infrastruktur perlu diambil kira, contohnya kedai dan tandas.
Selain itu, kalau bercakap pasal pelancongan ketenteraan, apakah kesan kepada community based tourism (CBT) atau dalam erti kata lain komuniti di kawasan berkenaan? Kita hendak mereka juga ada impak daripada segi ekonomi.
Sebenarnya, kalau kita ikut kisah dan penjejakkan askar Jepun dari Kota Bharu sampai ke Singapura, banyak lagi benda kita boleh tunjukkan. Contohnya, daripada mula mereka mendarat ke Tanah Melayu lagi. Ada juga kubu-kubu Jepun yang kita boleh tunjukkan. Lagipun, sejarah ini ada penceritaannya tersendiri.
Kita mahu ubah sedikit. Biasanya, kalau sebelum ini di Jepun, kita selalu beri (mengetengahkan produk pelancongan) yang bagus-bagus sahaja. Pantai atau tempat menarik tetapi kini konsep pelancongan ketenteraan pula diketengahkan.
Tiada dinafikan ada yang melihat perang dan sejarah tentera tidak sepatutnya dikenang kerana boleh timbulkan rasa tidak puas hati. Bagaimanapun, kita perlu psiko supaya mereka lihat perang ini sesuatu daripada sudut lain. Contohnya, mereka boleh kenal sejarah sendiri dan siapa mereka sebenarnya.
Kita perlu selalu ingat walaupun sejarah perang sesuatu yang menyakitkan, kita patut lupakan perkara terbabit demi kepentingan lain.
KERJASAMA NGO
Setakat ini adakah terdapat kesukaran untuk bekerjasama daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pihak lain bagi membangunkan pelancongan ketenteraan?
Pada masa ini kita lihat bagaimana ia mahu diangkat. Dengan siapa kita patut kerjasama. Kalau dengan pihak tentera sudah tentulah. Begitu juga dengan pejabat dan pegawai daerah. Ia penting supaya susulannya nanti kita sudah tahu apa yang kita boleh buat.
Sebagai contoh kos, tanggungjawab siapa (pengurusan) dan sebagainya. Kita tidak mahu ada yang buat nanti selepas itu hanya sekejap saja boleh bertahan dan dibiarkan sahaja tanpa selenggaraan.
Walaupun kita sudah war-warkan sejak dulu, sekarang kita mahu pertingkatkan lagi. Namun begitu dalam masa sama penglibatan CBT ini penting. Kalau tidak mereka tidak kisah pun pasal pelancongan ketenteraan. Apa yang ada pada fikiran mereka adalah tiadanya nilai sebab bukannya dapat apa, hanya tugu semata-mata. Ini contoh. Maka sebab itu kita perlu didik dan beritahu apa yang mereka hasilnya nanti.
PELANCONGAN SUKAN
Bagaimana potensi sport tourism (pelancongan sukan) di negara ini?
Segmen ini pun sudah berkembang sebenarnya sejak beberapa tahun lalu. Malaysia sudah dan pernah menjadi hos untuk beberapa acara sukan bertaraf dunia yang menarik peserta dan penonton dari negara luar.
Bukan setakat itu, kita ada kelebihan lain seperti struktur bentuk muka bumi semulajadi yang bergunung-ganang dan hutan tropika pula menyediakan lokasi untuk aktiviti sukan lasak.
Begitu juga dengan pesisiran pantai yang luas dan kepulauan yang cantik pula menjadikan Malaysia syurga untuk peminat aktiviti sukan air. Kita juga ada lapangan golf yang bertaraf antarabangsa yang direka oleh arkitek golf terkemuka.
Jangkaan jumlah kedatangan pelancong asing ke negara ini setakat suku kedua tahun ini dan jangkaan pendapatan hasil daripada kemasukan mereka?
Kita meramalkan sektor pelancongan di Malaysia kembali pulih secara beransur-ansur kepada tahap pra-pandemik. Kalau hendak dibandingkan dengan sebelum pandemik, kita telah berjaya mencatatkan 26.1 juta ketibaan pelancong asing dengan pendapatan sebanyak RM86.1 bilion.
Pada tahun lepas pula, kita melepasi sasaran awal untuk menarik seramai 9.2 juta pelancong antarabangsa sejak pembukaan semula sempadan dengan mencatatkan lebih 10 juta ketibaan pelancong asing. Unjuran jumlah pendapatan sebanyak RM28.2 bilion.
Untuk suku pertama tahun ini pula, Malaysia telah menerima ketibaan lebih kurang 4.4 juta pelancong asing yang mewakili 38.6% daripada jumlah keseluruhan pelancong pada 2019 iaitu sebelum pandemik.
Justeru untuk tahun ini, kita sasarkan seramai 16.1 juta pelancong antarabangsa dengan pendapatan sebanyak RM49.2 bilion. Kita mahu mencapai pada paras pra-pandemik menjelang tahun 2025, dengan unjuran kira-kira 23.5 juta ketibaan pelancong asing dengan pendapatan RM76.8 bilion.
CAPAI SASARAN
Mampukah kita capai sasaran 16.1 juta kehadiran pelancong dan adakah kita bersedia dari segi aspek kemudahan?
Kita pernah capai jumlah pelancong sebanyak 26 juta dengan pendapatan pada masa itu RM86 bilion.
Jadi, ini bermakna kemudahan itu sudah ada. Begitu juga jumlah kedatangan pelancong kerana kita dapat banyak penerbangan carter. Selain itu, frekuensi penerbangan juga ada yang bertambah. Kalau dulu, dua kali seminggu sekarang ada yang setiap hari. Jadi, sasaran tersebut tidak mustahil.
Adakah kerosakan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ini memberi kesan kepada Tahun Melawat Malaysia 2026?
Apa yang kita harapkan sebagai persediaan tahun melawat Malaysia nanti, ia akan ditambah baik termasuk di KLIA. Ini penting supaya memberi imej baik kepada negara dan tunjukkan kita bersedia dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 nanti.
– Mingguan Malaysia.