KOTA KINABALU, 18 Oktober 2022 – Peminat bola sepak kini berpeluang mendapatkan sesi ekslusif bersama pemain menerusi pakej sukan pelancongan 3 Hari 2 Malam ‘Bola In The City’ yang dipromosikan oleh Tourism Malaysia hasil kerjasama antara Sabah FC dan konsortium agensi pelancongan di Sabah.
Kerjasama itu dijalinkan menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani di Kota Kinabalu pada hari ini antara Encik Khairul Firdaus Akbar Khan, Ketua Pegawai Eksekutif Sabah FC bersama lapan agensi pelancongan iaitu Dynamic Tours Travel & Incentive Sdn. Bhd., Borneo Excursions (AHSB Rentacar Sdn Bhd)., Inno Travel & Tour Services Sdn. Bhd., Sensational Holidays (Borneo) Sdn. Bhd., Discovery Tours (Sabah) Sdn. Bhd., Kinabalu Heritage Tours & Car Rental Sdn Bhd, Borneo Trails Tours & Travel Sdn. Bhd. dan Nadi Borneo Tours Sdn. Bhd.
Majlis menandatangani memorandum tersebut turut disaksikan oleh Dato' Sri Dr Anil Jeet Singh Sandhu, Timbalan Pengerusi Tourism Malaysia; Puan Noredah Othman, Ketua Eksekutif Sabah Tourism Board, Cik Ednie Rahma Ab Rahim, Pengarah Tourism Malaysia Sabah, Encik Chali Awang, Ketua Komersil MASWings serta para penggiat industri pelancongan di Sabah.
Pakej yang bermula pada harga serendah RM699 seorang dan RM1,399 untuk lawatan ekslusif, antara lain menawarkan penginapan di hotel bertaraf empat bintang, cenderamata premium, lawatan ke tempat-tempat menarik di sekitar Kota Kinabalu, serta peluang berinteraksi dan beramah-mesra bersama pemain-pemain bola sepak popular seperti Dominic Tan, Park Tae-su dan Amri Yahya.
Selain itu, pakej ini juga menawarkan peluang untuk menonton perlawanan bersama pemain-pemain legenda bola sepak Sabah seperti Hassan Sani, Matlan Marjan, Burhan Ajui, Jelius Ating dan ramai lagi.
Sinonim dengan jolokan ‘Sang Badak’, Sabah FC merupakan salah sebuah pasukan yang beraksi cemerlang dalam saingan Liga Super musim ini dan pernah dinobatkan juara Piala FA Malaysia untuk musim 1995 dan menjuarai trofi Liga Perdana pada tahun 1996.
Encik Khairul Firdaus berkata, inisiatif Tourism Malaysia dalam memulakan pakej sukan pelancongan dengan menggabungkan elemen bola sepak dan produk pelancongan bukan sahaja dapat menarik ramai lebih ramai kehadiran peminat bola sepak ke stadium, malah ia dilihat mampu membantu memulihkan industri pelancongan domestik.
Sementara itu, Dato' Sri Dr Anil Jeet berkata, Tourism Malaysia sentiasa menyokong usaha kreatif para penggiat pelancongan dalam mempelbagaikan pakej pelancongan di negara ini bagi menarik minat pelancong dari dalam dan luar negara untuk berkunjung ke negeri Sabah.
“Dianggarkan sejumlah 80 hingga 100 peminat setia akan mengikuti rombongan pemain-pemain bola sepak kesayangan mereka pada setiap kali perlawanan berlangsung di mana-mana negeri. Oleh itu, kita optimis dengan adanya potensi untuk membangunkan pakej khas ini untuk para peminat bola sepak,” katanya.
Maklumat lanjut berkenaan tawaran pakej ini boleh diakses di laman sesawang Sabah FC https://sabah-fc.com atau di Facebook Tourism Malaysia Sabah. Untuk menikmati pakej ini sepenuhnya, orang ramai juga digalakkan untuk menebus baucar diskaun bagi tiket penerbangan MASWings di https://www.maswings.com.my.
-Tourism Malaysia.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.