PORT DICKSON: Seorang guru membawa pulang RM20,000
selepas muncul juara Pertandingan Memancing Port Dickson Surcasting Challenge
2018 di Pantai Bagan Pinang, di sini, hari ini.
Guru dari
Rembau itu, Abdul Rahman Yahya, 42, berjaya menaikkan ikan Gerung Belang
seberat 3.54 kilogram (kg).
Katanya, ini kemenangan hadiah RM20,000 kali kedua selepas Mei lalu di Pantai Putri, Melaka.
“Mungkin
sudah rezeki saya, namun hadiah wang tunai ini akan saya kongsikan bersama
sahabat baik saya yang turut sama memancing.
“Saya pun
tidak sangka dapat mendaratkan ikan Gerung Belang yang diketahui jarang bermain
di pantai.
“Tiada
rahsia, cuma saya beralih ke sebelah kanan hujung sekali, lokasi yang tak ramai
peserta akhirnya umpan mengena pada jam 12.15 tengah hari,” katanya.
Tempat
kedua dimenangi Ismadi Dolit, 25, dari Kuala Sungai Baru, Melaka selepas
berjaya menaikkan ikan Todak seberat 1.8 kg dan menggondol RM6,000 dan ketiga,
Badeli Shah Ngadimin, 47, dari Muar, Johor selepas menaikkan ikan Daun Baru
seberat 1.02 kg.
Sementara
itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Mohd Zamri Mohd Esa,
berkata seramai 1,058 peserta menyertai pertandingan memancing kali ini.
“Sudah
lama Port Dickson tidak menganjurkan pertandingan memancing dan kali ini kita
mengadakannya sempena cuti sekolah.
“Kemungkinan
ini akan dijadikan acara tahunan dan kita mahu menaikkan kembali nama Port
Dickson sebagai ikon kepada kaki pancing dari seluruh negara.
“Mungkin
tahun depan, hadiah pun akan ditingkatkan bagi menarik lebih ramai peminat
aktiviti memancing ini,” katanya.
Hadir
sama, Ketua Pengarah Tourism Malaysia merangkap Pengerusi Koperasi Kakitangan
Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Musa Yusof dan Pengurus Program, Md Zali
Kasnin.
-BH Online.
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.