Saturday, 26 May 2018

Mencari kedamaian di Pulau Mersing

BOT turut disediakan kepada pengunjung untuk melihat dari dekat
beberapa gugusan pulau-pulau di Mersing.

MERSING 24 Mei - Sebaik sahaja menyaksikan keindahan pantai yang dihampari oleh butiran pasir-pasir putih halus, pasti menjelmakan perasaan damai dan tenang kepada pengunjung.

Disulami dengan deruan angin dan hempasan ombak, suasana di pantai gugusan kepulauan Mer­sing amat memikat pengunjung yang inginkan percutian mendamaikan bersama-sama keluarga dan kenalan.

Malah, dunia alam marinnya yang kaya dengan pelbagai spe­sies menjadikan percutian ke desti­nasi kepulauan ini tidak pernah mengecewakan.

Kejernihan air lautnya yang membiaskan warna firus membolehkan pengunjung melihat ikan-ikan kecil berenang di sekeli­ling terumbu karang di dasar laut.

Hembusan segar angin Laut China Selatan yang terbentang luas di hadapan mata pula meredakan kehangatan tropika gugusan pulau tersebut yang turut mendapat jolokan ‘Maldives Malaysia’ kerana keindahannya.

Lebih membanggakan, gugusan kepulauan Mersing yang merangkumi enam pulau, iaitu Rawa, Tinggi, Aur, Sibu, Pemang­gil dan Besar turut diletak di bawah Taman Laut Sultan Iskandar (TLSI) serta dianggap sebagai 'permata laut' negeri ini.

Setiap pulau berkenaan mempunyai daya tarikan dan keunikan tersendiri dan kunjungan ke situ pasti memberi pengalaman percutian berbeza.

Justeru, tidak hairan pengunjung mahu menyelami dan merasai pengalaman berkunjung ke gugusan pulau berkenaan yang amat kaya dengan khazanah flora dan faunanya.

Misalnya, Pulau Rawa amat digemari pelancong asing khususnya dari Eropah kerana nilai ‘eksklusif' pulau berkenaan yang mengawal jumlah tetamunya bagi memberikan kepuasan maksimum kepada pengunjungnya.

Bagi pengunjung yang mencari percutian bajet, Pulau Besar, Pulau Tinggi dan Pulau Sibu adalah destinasi sesuai menerusi rangkaian penginapan yang menawarkan harga berpatutan dan mengikut keperluan pe­langgan.

Menariknya di ketiga-tiga pulau ini, pe­ngunjung juga boleh menikmati suasana kampung dengan berjalan kaki atau berbasikal sambil menyaksikan perusahaan sokongan pelancongan yang diusahakan penduduk asal pulau berkenaan.

Jangan terkejut apabila melihat ratusan keluang bergantu­ngan di atas pokok-pokok sekitar Pulau Besar yang ‘jinak’ dan tidak membahayakan.


Justeru, bagi yang inginkan percutian menyeronokkan untuk keluarga dan kenalan, gugusan kepulauan Mersing menjanjikan pengalaman baharu dan mene­nangkan.
-utusan online.
http://tourism.johor.my/

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.